Pilih Bahasa

McDonald’s Malaysia berhasrat melabur lebih besar di Sabah

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Syarikat rantaian makanan segera gergasi, McDonald’s Malaysia berhasrat untuk membuat lebih banyak pelaburan di negeri ini untuk jangka masa tiga hingga empat tahun mendatang.

Pengarah Urusan (Rakan Operasi) Gerbang Alaf Restorans Sdn Bhd Azmir Jaafar berkata melalui pelaburan tersebut, McDonald’s Malaysia bakal membuka 14 hingga 18 restoran baharu.

Azmir (kiri) dalam sidang akhbar selepas membuat pertemuan dengan Ketua Menteri. Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

Katanya ia adalah sasaran McDonald’s Malaysia untuk membuka 30 cawangan restoran baharu di seluruh negeri.

“Perbelanjaan untuk 14 ke 18 buah restoran baharu ini menelan belanja sehingga lebih RM100 juta.

“Selain pembukaan restoran baharu, kita juga akan memperbaharui restoran sedia ada dari segi perabot, penghawa dingin termasuklah perkhidmatan baharu yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar selepas kunjungan hormat McDonald’s Malaysia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Tambahnya dengan menambah pelaburan di Sabah, sudah pasti syarikat berkenaan akan membuka lebih kurang 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Sabah seluruh negeri.

Katanya pada ketika ini, syarikat berkenaan mempunyai 800 pekerja.

“Ketua Menteri amat hargai pelaburan kita bawakan dan pekerjaan yang diwujudkan ini amat penting kepada Sabah.

“Kita dalam pembinaan restoran baharu di Semporna dan dijangka akan dibuka pada penghujung tahun yang mana ia akan mewujudkan lebih 70 peluang pekerjaan untuk anak tempatan Sabah.

“Begitu juga dengan restoran baharu Keningau sedang dalam pembinaan dan akan dibuka tahun ini. Dalam pada itu, kita yakin akan memberi peluang pekerjaan yang baik kepada anak Sabah,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, McDonald’s Malaysia juga giat menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka melibatkan rumah anak-anak yatim dan orang tua, sekolah serta komuniti. -SabahNewsToday