Pilih Bahasa

MEDIA SABAH PERLU TERUS JADI SUMBER MAKLUMAT SAHIH

Oleh Chris Maskilone


KOTA KINABALU: Media di Sabah diminta terus memainkan peranan sebagai sumber maklumat sahih kepada umum.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata terlalu banyak berita berunsurkan fakta yang telah diputatbelit disebarkan melalui media sosial oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

Christina bersama jemputan lain melambung yee sang sebagai simbol perasmian majlis makan tengahari Tahun Baharu Cina KKJA hari ini. Gambar SNT/Ehsan KKJA

“Ini akan mengakibatkan rakyat bingung dan berasa tidak tenteram,” katanya semasa merasmikan majlis makan tengahari Tahun Baharu Cina Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) di Dewan Hakka di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew.

Christina menerima skrol Tahun Baharu Cina sambil disaksikan pengerusi KKJA Yong Thed Phen (tiga kiri). Gambar SNT/Ehsan KKJA

“Tidak perlulah saya berkata panjang lebar mengenai ini kerana anda semua adalah wartawan bekerja yang faham bagaimana sesuatu fakta itu boleh diputarbelit dan bertukar menjadi sesuatu yang berlainan.

“Terdapat ramai orang di luar sana dengan agenda tersendiri cuba memanipulasi isu ataupun menyebar pembohongan bagi mewujudkan kebencian dan ketegangan,” katanya.

Anak-anak ahli KKJA menerima angpow. Gambar SNT/Ehsan KKJA

Namun demikian, Mohd Shafie yakin para pengamal media di Sabah akan terus memberi laporan seimbang.

“Amat penting bagi anda semua untuk berpegang kepada etika kewartawanan … Saya cukup yakin sekiranya standard tinggi etika dikekalkan, dunia kewartawanan tidak akan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menasihati pengusaha suratkhabar agar mencari idea baharu dan berinovasi demi meneruskan perniagaan.

Ahli KKJA membuat persembahan. Gambar SNT/Ehsan KKJA

“Saya difahamkan beberapa syarikat akhbar kebangsaan telah menjalankan proses pengurangan pekerja dengan menawarkan pakej pampasan.

“Sehingga kini saya belum lagi mendengar hal sedemikian berlaku di Sabah walaupun kebanyakkan syarikat akhbar tempatan sedang mengurangkan kos operasi mereka,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Shafie berharap syarikat-syarikat akhbar akan mematuhi kehendak undang-undang pekerja sekiranya terpaksa membuat pengurangan pekerja.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada media di Sabah yang terus memberi laporan seimbang dan adil serta liputan kepada berbagai aktiviti, polisi dan pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.-SabahNewsToday