Pilih Bahasa

MEKANISME MENYELURUH DIPERLUKAN BAGI PEMANTAPAN KPD

Oleh Datu Ruslan Sulai

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai (tengah) pada lawatan kerja di Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Lok Kawi, Putatan, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Putatan: Satu mekanisme secara menyeluruh seharusnya diambil untuk membangunkan dan memantapkan operasi Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah di Putatan pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai berkata, langkah itu sekaligus akan meningkatkan daya produktiviti berasaskan pertanian di KPD bagi melahirkan lebih banyak produk yang mampu berdaya saing di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, terdapat produk bermanfaat yang masih tidak diketahui umum mengenai sumbangan produk KPD Sabah seperti produk berasaskan susu kambing, minyak pati, kosmetik dan lain-lain di mana ianya banyak digunakan dalam rutin seharian masyarakat.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai (dua dari kiri, duduk) pada lawatan kerja di Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Lok Kawi, Putatan, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Jelasnya lagi, dengan usaha berkenaan nanti, impian membangunkan produk-produk yang akan meningkatkan industri pelancongan di Putatan dapat direalisasikan.

“Melalui pembangunan KPD di Putatan ini, kita juga dapat mengajak para pengusaha setempat untuk menceburi lebih banyak bidang selaras dengan apa yang tersedia di sini seperti produk susu kambing, minyak wangi dan bermacam lagi.

” Apa yang saya lihat istimewa di KPD ini, mereka mempunyai produk makanan aiskrim susu kambing di mana ianya amat jarang didapati, selain menjadikan tanaman harian seperti bunga kantan untuk dijadikan alat kosmetik dan sabun,” katanya.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai (kiri) pada lawatan kerja di Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah, Lok Kawi, Putatan, baru-baru ini. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Beliau yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah itu berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat di KPD Sabah yang bertempat di Lok Kawi, Putatan, baru-baru ini.

Hadir sama dalam taklimat berkenaan adalah Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Perniagaan dan Operasi) KPD, Jamilah Lee.-SabahNewsToday