Pilih Bahasa

Mekanisme terbaik pastikan rumpai laut bermutu tinggi untuk bekalan tempatan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan memastikan mekanisme terbaik pengeluaran rumpai laut yang berkualiti dan bekalan bahan mentah yang mencukupi bagi tujuan perindustrian tempatan.

Menterinya, Datuk Junz Wong berkata pihaknya kini sedang membangunkan industri rumpai laut melalui tiga kategori iaitu ladang nukleus, projek berkelompok dan program mini ladang.

Datuk Junz Wong (tiga dari kiri) bergambar selepas melawat pusat pengumpulan hasil rumpai laut. Gambar SNT / Ihsan KP&IM

“Bagi tahun 2019 dan 2020, kita mensasarkan 400 penternak rumpai laut dan keluarga mereka bekerja di bawah kategori ladang nukleus seluas 200 hektar yang dijangka mengeluarkan hasil sebanyak 1,200 tan metrik setahun.

“Sementara itu, 10 projek berkelompok akan dibangunkan meliputi 1,000 hektar. Melalui usaha ini, sebanyak 1,000 usahawan dan ahli keluarga mereka akan terlibat serta dijangka mengeluarkan hasil rumpai laut sebanyak 8,000 tan metrik setahun,” katanya selepas lawatan kerja selama dua hari di beberapa ladang rumpai laut di Kampung Gelam-Gelam, di sini hari ini.

Beliau berkata selain daripada projek nukleus dan kelompok, 10 syarikat utama akan disasarkan untuk membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar.

“Syarikat-syarikat ini dijangka dapat membantu memberi 300 peluang pekerjaan dan boleh mengeluarkan hasil rumpai laut sebanyak 10,000 tan metrik setahun.

“Dalam memastikan kejayaan program-program ini, anak benih rumpai laut berkualiti sangat penting.

“Jabatan Perikanan bekerjasama rapat dengan usahawan serta penyelidik atau institusi tinggi tempatan dalam membangunkan penanaman yang berterusan dan boleh dipercayai,” katanya.

Ketika lawatannya, Junz sempat melawat pusat pengumpulan rumpai laut yang dimiliki oleh penduduk setempat di di daerah ini.

Pusat pengumpulan tersebut turut menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 20 penduduk setempat dan menjalankan aktiviti mengeksport rumpai kering terus ke China.

Beliau dimaklumkan syarikat itu baru saja mengeksport dua kontena yang mengandungi 60 tan metrik rumpai kering ke China.

“Harga pasaran rumpai laut di sini antara RM4.70 hingga RM5.00 sekilogram bergantung kepada kualiti.

“Rumpai laut ini juga mendapat sambutan besar di negara China dimana harga boleh mencecah RM7.00 sekilogram,” jelasnya. – SabahNewsToday