Pilih Bahasa

Mengharungi cabaran memerangi Covid-19: Azis

Oleh Zakaria Damit

KOTA KINABALU: Rakyat perlu memahami langkah serta tindakan kerajaan untuk memperkenalkan kawalan pergerakan kepada seluruh rakyat Malaysia bagi memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata rakyat sewajarnya menyokong langkah ini agar penularan Covid-19 dapat diberhentikan pada ketika seluruh kakitangan perubatan bertungkus lumus merawat mereka yang dikenalpasti positif terhadap virus ini.

Datuk Azis Jamman. Gambar Fail SNT

Katanya wabak Covid-19 ini adalah perjuangan umat sejagat tanpa mengenal warganegara, agama, bangsa apa lagi batasan politik.

“Maka dengan itu semua pihak perlu berkerjasama agar perjuangan untuk memerangi wabak ini dapat dijayakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sehubungan itu rakyat di negeri ini perlu memberikan kerjasama kepada setiap langkah, usaha serta arahan pihak kerajaan sewajarnya mengambil kira masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Azis berkata arahan kawalan pergerakan ini perlu dikuatkuasakan membabitkan dan sektor perbankan tempatan selain premis perniagaan atau syarikat swasta agar menyokong langkah kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat di negeri ini.

Ini khususnya kepada pengusaha restoran, penyewa premis supaya peminjam diberikan tempoh pengecualian atau pengurangan pembayaran pinjaman dalam usaha memerangi Covid-19.

“Jika ini dapat dijayakan kemungkinan besar pengusaha ini tidak gulung tikar dalam apa juga perniagaan yang mereka jalankan sekaligus membolehkan mereka boleh merancang perniagaan mereka di masa depan,” katanya.

Azis berharap agar kerajaan baik persekutuan dan negeri perlu mengarahkan agar semua pihak termasuk institusi kewangan, syarikat swasta serta pemilik-premis perniagaan agar memberikan kelonggaran pembayaran perniagaan mereka.

“Dikesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh kakitangan hospital, pegawai perubatan, jururawat serta semua pihak yang terlibat dlm memerangi wabak ini,” katanya.-SabahNewsToday