Pilih Bahasa

MENTERI INDUSTRI UTAMA DIGESA ARAH SYARIKAT PERLADANGAN BUANG PERANGKAP BINATANG DI KAWASAN MASING-MASING, ELAK KEMATIAN GAJAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kementerian Industri Utama diminta bertindak segera mengarahkan syarikat perladangan yang memasang jerat di kawasan ladang mereka supaya mengeluarkan perangkap tersebut kerana telah mengakibatkan kematian beberapa ekor gajah yang merupakan spesies dilindungi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew berkata, tindakan itu akan dapat membantu mengurangkan kesan dan ancaman terhadap haiwan tersebut yang kini telah mencatatkan angka kematian sebanyak 26 ekor pada tahun ini, iaitu satu jumlah yang tinggi.

“Kita telah melakukan pelbagai usaha termasuk menubuhkan unit tindakan khas dan memberikan kuasa kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) untuk bertindak mengikut Seksyen 33 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dalam menangani isu kematian gajah di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Ini termasuk memberikan ganjaran RM120,000 kepada sesiapa yang mempunyai bukti terhadap pihak yang menyebabkan kematian gajah-gajah tersebut,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Terdahulu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Peringat Negeri Sabah yang bertemakan `Wanita Cemerlang, Rakyat Sejahtera’, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok baru-baru ini bahawa pihaknya masih menunggu hasil siasatan kerajaan negeri berhubung kematian gajah di beberapa kawasan perladangan di Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan.

Selain itu, Teresa juga dikatakan enggan menyalahkan atau mengaitkan peladang atau pekebun kecil dengan kematian haiwan tersebut.

Sambil mengalu-alukan keprihatinan Teresa mengenai isu itu, Christina berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua perkara diambil kira dalam siasatan terhadap punca dan dalang yang menyebabkan kematian gajah di Sabah sejak kebelakangan ini.

“Apa yang penting beliau (Teresa) perlu bertindak tegas dengan menasihati pemilik ladang untuk membuang semua jerat atau perangkap di kawasan perladangan, kerana cara itu dapat mengurangkan insiden kematian gajah disebabkan terkena jerat yang dipasang,” jelasnya. – SabahNewsToday