Pilih Bahasa

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat baharu diumum esok

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membuat pengumuman pada esok berkenaan pengganti Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang kosong sejak 28 Mac lalu.

Namun, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tidak akan berlaku rombakan kabinet negeri susulan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Mohd Shafie melawat kawasan bazar Ramadan di Lintasan Deasoka. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan sudahpun melabuhkan tirainya, kita akan membuat pengumuman berkenaan pelantikan jawatan itu.

“Saya akan mengatur pengumuman berkenaan pada hari esok,” katanya ketika ditanya selepas kunjungan mesranya ke Bazar Ramadan Lintasan Deasoka dan Pengagihan Bubur Lambuk kepada orang awam di perkarangan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew mengagihkan bubur lambuk kepada orang awam. Gambar SNT/Alfred Petrus

Terdahulu, anak mendiang Stephen, Vivian Wong Shir Yee menang selepas mendapat 16,012 undi untuk menang dengan majoriti 11, 521 undi ke atas empat lagi calon iaitu Datuk Linda Tsen dari PBS dan tiga calon bebas Hamzah Abdullah, Sulaiman Samat dan Chia Siew Yung dalam PRK Sandakan.

Melalui kemenangan tersebut, Vibian mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan oleh mendiang bapanya kepada rakyat di Parlimen itu.

Beliau turut berpegang kepada prinsip mendiang bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada Mei lalu iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan. -SabahNewsToday