Pilih Bahasa

Menteri perlu dengar bantahan ahli peladang berkaitan pewartaan peraturan PP 2019

Dr Rais (dua dari kanan) diiringi oleh Mohd.Nazri (kanan( bersalam dengan pemimpin peladang Sabah. – Gambar SNT/Ihsan PPN

KOTA KINABALU: Ahli politik veteran, Tan Sri Dr Rais Yatim berharap kerajaan Persekutuan mendengar dan memgambil kira bantahan daripada para ahli Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang menolak pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, yang mereka sifatkan sebagai satu bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan itu.

“Saya kira sektor perladangan yang secara nasionalnya diwakili oleh persatuan peladang kita dan pengurusan di bawah lembaganya, serta naungan pihak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub perlu dilihat dalam konteks pembangunan negara dan dalam masa yang sama, sepenuh penghargaan harus juga diberi kepada akar umbi.

“Ini bermakna suara akar umbi itu lebih penting daripada kuasa eksekutif. Jadi dalam konteks pemilihan pemimpin di akar umbi harus lebih penekanannya, sebagai penghormatan kepada rakyat berbanding dengan kuasa melantik, yang seharusnya lebih rendah daripada kuasa mesyuarat agung,” katanya.

Dr Rais yang juga Pengerusi Yayasan Budi berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan  Tahunan PPN Sabah ke 32 di Hotel Promenade di sini semalam.

Beliau merujuk kepada permasalahan yang berpunca daripada pewartaan tersebut yang mana PPN Kedah semasa mesyuarat agungnya pada September 26 lalu, hampir sebulat suara menolak pewartaan berkenaan dan keputusan tersebut mungkin akan mempengaruhi PPN-PPN di negeri-negeri lain yang bakal mengadakan mesyuarat agung masing-masing dalam masa terdekat.

Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd Saman dilaporkan berkata menerusi pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019, membolehkan sebahagian Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan PPN dilantik melalui kuasa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kata beliau di peringkat Nafas seramai enam AJP Nafas boleh dilantik di bawah kuasa menteri itu dan hanya lima orang melalui pemilihan mesyuarat agung pertubuhan tersebut manakala di peringkat PPN seramai lima orang AJP PPN boleh dilantik oleh menteri terlibat dan hanya empat orang sahaja dipilih melalui mesyuarat agung PPN.

“Ini menunjukkan bahawa adalah jelas PPN menolak sebarang bentuk campur tangan politik dalam pertubuhan peladang (PPN) dan perkara ini disuarakan melalui mesyuarat agung,” kata Abdul Lateh.

Dr. Rais (dua dari kanan) bersama Mohd.Nazri (kanan) Dr Daud (tengah) dan tetamu lain di majlis itu. – Gambar SNT/Ihsan PPN

Sebelum ini, kesemua 42 PPK yang menaungi 100,000 petani di negeri itu membantah sekeras-kerasnya terhadap pindaan komposisi AJP pertubuhan itu yang dianggap campur tangan politik.

Pindaan yang berkuat kuasa 1 Mei lalu itu, telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan dan ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik AJP di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.

Pada April lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan pewartaan terhadap Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 untuk mentranformasikan kepimpinan Pertubuhan Peladang di tiga peringkat iaitu PPK, PPN dan Nafas.

Dr Rais berkata dalam konteks pertubuhan peladang di Sabah, seperti di negeri-negeri lain, kuasa menentukan para pemimpin dan ahli jawatankuasa haruslah lebih ramai daripada bilangan yang dilantik oleh menteri.

“Ini yang terbaik. Tetapi oleh kerana suasana sekarang, suasana ini harus diperbaiki dan sekiranya perwakilan itu lebih kepada perlantikan (oleh Menteri) maka imej yang kurang baik, apatah lagi kalau mereka dari golongan tertentu saja.

“Ini akan memberi keadaan yang tidak berimbang. Itu yang saya sebutkan, bahawa mengikut lunas “Common Law”, orang-orang yang dipilih oleh rakyat perlu diberi lebih keutamaannya daripada kuasa eksekutif yang melantik. 

“Jadi dalam persatuan peladang ini perlu dihormati supaya kita mempunyai trend ataupun kecenderungan yg seragam seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sekarang ini, rakyat lebih menentukan dan lebih suka kepada suara ramai daripada yang dipastikan oleh pihak lain untuk mengutamakan logistik dan fungsi-fungsi dalam memajukan pertanian

“Ini penting agar produktiviti itu dapat kita langsungkan dalam suasana muhibbah dan kuasa yang terserah kepada masyarakat,” katanya sambil menambah akan berhubung dengan menteri berkaitan tentang perkara berkenaan. – SabahNewsToday