Pilih Bahasa

Menyebabkan kematian dalam kemalangan jalanraya, lelaki Filipina dipenjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau tambahan 10 bulan penjara

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki Pendatang Asing Tanpa Izin warganegara Filipina dipenjara tiga tahun dan denda RM5,000 kerana menyebabkan kematian seorang wanita warga emas dalam satu kemalangan jalanraya di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, di sini, 19 Mac lalu.

Mahkamah Majistret turut memerintah hukuman penjara 10 bulan lagi kepada Sani Kaldi, 56 sekiranya gagal membayar denda dan akan dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Tertuduh, Sani Kaldi, 56, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang wanita warga emas dalam kemalangan jalanraya di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, 19 Mac lalu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Sani mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ferhansya Farene Mohd Ferdaus di sini hari ini.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan memandangkan isterinya baharu meninggal dunia dan mempunyai lima orang anak yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Majistret Ferhansya menjatuhkan hukuman sedemikian bagi memberi kesedaran kepada tertuduh dan demi kepentingan awam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan nombor pendaftaran SD3478A dengan cara merbahaya hingga menyebabkan kematian Siarah Hasan, 71, di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, kira-kira pukul 7 pagi, di sini, 19 Mac lalu.

Pertuduhan ini didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, anak mangsa, Saripuddin Odu, 38, yang di temui di luar mahkamah menarik nafas lega apabila tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal atas perbuatannya yang memandu dalam keadaan merbahaya hingga meragut nyawa ibunya.

“Saya bersyukur sebab dia dapat hukumannya sebagai pengajaran untuk dirinya dan kematian ibu saya mendapat pembelaan,” katanya.

Dalam insiden 19 Mac itu, perjalanan mangsa bersama dua saudaranya ke Hospital Tawau menaiki kenderaan jenis Proton Iswara bertukar tragedi apabila mereka dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu tertuduh bersama rakannya dari arah bertentangan.

Mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala tertuduh serta rakannya melarikan diri.

Tertuduh meninggalkan kenderaan terbabit di lokasi kejadian sebelum pemiliknya bertindak membuat laporan polis. -SabahNewsToday