Pilih Bahasa

MENYEBABKAN KEMATIAN EMPAT ORANG DALAM KEMALANGAN AKIBAT MABUK, WANITA DIPENJARA 17 TAHUN, DENDA RM39 RIBU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan denda RM39,000 terhadap seorang wanita selepas didapati bersalah memandu ketika mabuk sehingga kemalangan yang menyebabkan kematian empat lelaki dan seorang lagi cedera, di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, 8 Julai tahun lalum

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Olivia Chong Oi Yun, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Tertuduh, Olivia Chong Oi Yun, 35, dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 atas dua pertuduhan menyebabkan kematian empat lelaki dan seorang cedera, 8 Julai, tahun lalu. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM20,000 manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM19,000.

Hakim turut menetapkan kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan bermula hari ini dan dikenakan penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Beliau turut memerintahkan lesen memandu tertuduh dibatalkan lima tahun untuk pertuduhan pertama dan lima tahun lagi untuk pertuduhan kedua.

Hakim berkata dalam melaksanakan hukuman, mahkamah telah mengambil kira rayuan tertuduh, fakta serta dapatan dalam kes perbicaraan itu dan paling penting membabitkan faktor kepentingan awam adalah menjadi keutamaan.

“Tertuduh merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab disebabkan perbuatannya yang minum minuman alkohol sehingga mabuk dan melebihi had yang dibenarkan.

“Sebenarnya kemalangan itu berlaku pada pukul 1.20 pagi dimana pada masa itu tidak banyak kereta dijalan raya dan dalam kes ini ada lima mangsa. Empat terbunuh dan seorang cedera teruk.

“Tiga mangsa maut serta merta di tempat kejadian manakala seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan. Seorang lagi mangsa yang aktif bersukan kini menjadi orang kurang upaya. Masa depannya dan keseronokan telah dirampas selepas dia dilanggar,” katanya ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan perbuatan itu di Jalan Chong Thien Vun Hadapan Pusat Komersil BDC (1 Arena) pada pukul 1.20 pagi, 8 Julai dan didapati mempunyai banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan semasa kemalangan berlaku.

Mereka yang maut adalah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan perbuatan yang sama hingga menyebabkan kecederaan kepada Chin Guan Xiong, 21.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguambela, Abdul Ghani Zelika.

Sepanjang prosiding dijalankan sejak Julai tahun lalu, seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah dipanggil.

Terdahulu dilaporkan, bahawa kelima-lima lelaki terbabit berada di kawasan parkir kereta sebelum kenderaan yang dipandu Olivia hilang kawalan lalu merempuh mereka.- SabahNewsToday