Pilih Bahasa

Mercedes Benz terbakar, pemandu selamat

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang lelaki terselamat selepas kereta jenis Mercedes-Benz dipandunya terbakar ketika bergerak di Jalan Tun Fuad Stephens, belakang bangunan Wisma Merdeka, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku apabila pemandu berusia 40-an sedang memandu melalui jalan berkenaan dan api tiba-tiba keluar dibahagian enjin.

Kereta Mercedes Benz terbakar dalam kejadian di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Ihsan pembaca

Menyedari kejadian itu, lelaki terbabit memberhentikan kenderaanya lalu bertindak keluar menyelamatkan diri.

Pengawal keselamatan di bangunan Wisma Merdeka yang melihat kereta itu terbakar segera membantu memadam api daripada merebak ke sebuah lagi kenderaan.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu yang tiba sejurus selepas dihubungi jam 1.16 tengah hari kemudian memeriksa keadaan serta keselamatan kereta berkenaan.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba. -SabahNewsToday