Pilih Bahasa

Merokok di kawasan Lapangan Terbang 8 individu diminta hadir ke mahkamah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Lapan individu yang sedang leka menghisap rokok di kawasan Lapangan Terbang Tawau akhirnya mengundang padah apabila dikenakan notis hadir ke mahkamah daripada Jabatan Kesihatan Daerah, semalam.

Ketua Pegawai Kesihatan Daerah, Rahman Sampe berkata dalam operasi bermula pukul lapan hingga 10 malam itu, semua yang didapati bersalah didapati tidak mengendahkan papan tanda larangan merokok yang diletak di lapangan terbang berkenaan.

Antara individu yang diambil tindakan merokok dalam kawasan larangan di Lapangan Terbang Tawau. Gambar SNT/Ihsan Jabatan Kesihatan Tawau

“Semua yang didapati bersalah merokok dikawasan yang digazetkan sebagai zon larangan merokok akan diberi notis hadir ke mahkamah.

“Bagaimanapun, pesalah boleh membayar kompaun RM250 di Pejabat Jabatan Kesihatan Daerah jika tidak mahu dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahman turut menggesa supaya agensi pelancongan menasihati pelancong atau pelanggan dibawah agensi mereka untuk mematuhi peraturan larangan merokok.

“Lapangan terbang antara kawasan yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok. Jadi, saya mahu agensi pelancongan menasihati pelancong supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Individu yang didapati bersalah merokok dikawasan larangan akan dikenakan tindakan dibawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya. – SabahNewsToday