Pilih Bahasa

MESYUARAT PEMANDU SEMAK MA63 PROGRESIF: MOHD SHAFIE

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk menyemak Perjanjian Malaysia (MA63) di antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak, semalam menunjukkan tanda kemajuan.

Ketua Menteri, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata mesyuarat seterusnya akan diadakan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bagi meneruskan kajian terhadap hak-hak Sabah yang terkandung dalam MA63.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar Fail SNT

“Kita akan melihat hasil rundingan kita bersama Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi, namun saya tidak dapat memberitahu secara terperinci mengenai mesyuarat semalam.

“Bagaimanapun, kita usahakan apa yang kita dapat percepatkan, (cuma) ada beberapa perkara yang (mungkin) mengambil sedikit masa,” katanya dalam sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil mesyuarat Pemandu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 di Putrajaya semalam.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata perkara penting pada ketika ini adalah hasil daripada rundingan itu untuk dijayakan dan apa yang dikehendaki oleh Sabah boleh diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau lagi, Sabah juga mahu pembentukan jawatankuasa teknikal bagi pengurusan tanah, minyak dan imigresen dipercepatkan untuk dikaji secara mendalam sebelum dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya. – SabahNewsToday