Pilih Bahasa

Metrojaya Suria Sabah sahkan gambar tular; barangan sudah diganti

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Metrojaya hari ini mengesahkan gambar tular memperlihatkan kerosakan beberapa barangan kulit serta pakaian berlaku di cawangan Metrojaya Suria Sabah.

Ketua Pemasaran Kumpulan The MUI Group, Karen Mak berkata kesemua gambar berkenaan adalah untuk kegunaan dalaman sahaja bagi persediaan pembukaan semula premis terbabit.

Gambar barangan kulit di Metrojaya Suria Sabah yang tular di media sosial. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

“Kita telah menutup operasi selama hampir dua bulan sejak 18 Mac lalu, selari dengan arahan kerajaan dalam penguatkuasaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terdapat pelbagai perkara yang boleh mengakibatkan barangan di kedai berada dalam keadaan seumpama itu namun punca sebenar masih dalam proses siasatan.

Kakitangan Metrojaya Suria Sabah dilihat sedang melakukan pembersihan pada barangan kulit selepas kejadian gambar tular kerosakan beberapa barangan kulit serta pakaian berlaku di cawangannya di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun semua barangan yang terjejas sudah dikeluarkan daripada rak pameran dan digantikan dengan stok baharu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Karen menyatakan pihaknya turut memberi jaminan bahawa kakitangan mahupun pelanggan boleh membeli-belah dengan selamat di premis terbabit.

“Kita mengambil langkah pencegahan yang diperlukan mengikut panduan pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Metrojaya Suria Sabah dijangka bakal beroperasi semula pada 13 Mei ini.

Seorang lelaki dilihat berjalan dihadapan pintu masuk premis Metrojaya di Suria Sabah, hari ini. Metrojaya mengesahkan kejadian gambar tular kerosakan beberapa barangan kulit serta pakaian berlaku di cawangannya di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Semua kakitangan juga giat melaksanakan kerja pembersihan dan mengemas semula barangan bagi memastikan pelanggan yang datang sentiasa berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular menunjukkan barangan dipercayai dijual di gedung Metrojaya Suria Sabah mengalami kerosakan teruk dan berkulat selepas premis terbabit tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP. -SabahNewsToday