Pilih Bahasa

MGB perlu amal kepimpinan proaktif dan responsif dalam melaksanakan tugas

Jamawi (tengah) bersama ahli jawatankuasa MGB daerah Tenom. – Gambar SNT/Ihsan MGB Tenom

TENOM: Majlis Guru Besar (MGB) dapat memainkan peranan penting untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pendidikan melonjakkan sistem pendidikan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata bagi merealisasikan perkara itu MGB perlu mengamalkan prinsip kepimpinan terbuka, proaktif dan responsif terhadap tuntutan-tuntutan baharu dan mengutamakan pelanggan.

Jamawi berkata kedua, MGB harus mengekalkan perpaduan dalam kesatuan untuk bergerak dalam satu pasukan dan matlamat untuk sama-sama membantu kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik serta ko-kurikulum.

“Saya yakin MGB bukan sahaja menjadi pemimpin kepada organisasi sesebuah sekolah namun melalui MGB mereka boleh memberikan sumbangan bermakna dalam meningkatkan kehidupan moral dan cendekiawan masyarakat melalui penyebaran maklumat.

“Selain itu MGB juga boleh melakukan gerakan pembaharuan sosial dinamik melalui kegiatan kegiatan yang dilaksanakan di sekolah masing-masing,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung MGB Tenom sesi 2019/2020 yang turut dihadiri bekas Yang Dipertua MGB Daerah Tenom, Hassan Basri.

Jamawi (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Hassan Basri semasa majlis tersebut. – Gambar SNT/Ihsan MGB Tenom

Dalam pada itu Jamawi juga berharap MGB turut mencetuskan kebijaksanaan baharu untuk membangunkan masyarakat secara menyeluruh dan mampan.

Katanya, kepimpinan sekolah juga mempunyai peranan penting dalam memastikan penyampaian pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Ini kerana ujarnya, kualiti pendidikan di sekolah amat bergantung kepada keterampilan dan profesionalisme dimiliki guru-guru besar dan guru-guru.

“Kualiti pelajar hanya akan terjana menerusi amalan pengurusan berkualiti dan beretika serta mementingkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.

Pada majlis tersebut Jamawi juga turut menyampaikan sumbangan kewangan RM6,000.00 kepada MGB daerah Tenom untuk kegiatan mereka sepanjang tahun. – SabahNewsToday