Pilih Bahasa

MGGS kumpul dana untuk Prison Fellowship

Oleh Alfred Petrus

Christina (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada James. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Program ‘Berjalan Untuk Yesus’ anjuran Majlis Gereja-gereja Sabah (MGGS) membantu penduduk di pusat bandar yang memerlukan dengan mengumpulkan dana melalui penganjurannya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata usaha MGGS itu sesuatu yang baik kerana membantu warga kurang berkemampuan tidak mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka.

“Ini menunjukkan sikap keprihatinan MGGS membantu golongan ini serta memupuk semangat yang tinggi dalam kepercayaan serta kesatuan dalam masyarakat.

“Saya sangat gembira komuniti Kristian mengambil langkah ini dengan menganjuran program seumpama bagi melahirkan kesedaran dalam masyarakat awam untuk turut serta memberikan sokongan kerajaan menghindari aktiviti-aktiviti tidak baik seperti penyalahgunaan dadah,” katanya.

Christina (kanan) mengetuai acara pelepasan program berkenaan. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pelepasan program ‘Berjalan Untuk Yesus’ di Padang Merdeka di sini hari ini.

Sementara itu Presiden MGGS, Bishop James Wong berkata selain Kota Kinabalu acara berkenaan turut dijalankan serentak di 12 buah bandar seluruh negeri dan bandar Limbang.

Katanya hasil kutipan ‘Berjalan Untuk Yesus’ itu akan disumbangkan kepada Prison Fellowship.

“Prison Fellowship ialah satu badan yang membantu banduan penjara dalam proses rehabilitasi mereka.

“Badan ini juga memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga-keluarga bandan yang memerlukan,” katanya. -SabahNewsToday