Pilih Bahasa

Michaela Shuttleworth dinobat Miss Scuba International 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Michaela (tengah) bersama Anavaliza (kanan) dan Flordeliz pada acara Miss Scuba International 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pelajar universiti warga Australia dinobatkan pemenang Miss Scuba International 2019 sekaligus mengalahkan 22 peserta lain pada acara yang berlangsung di negeri, malam semalam.

Michaela Shuttleworth, 22, dimahkota bagi menggantikan Daisy Hope Whetlor daripada United Kingdom yang juga bekas Miss Scuba 2018.

Dianjurkan sejak tahun 2011, Anavaliza Atmadja daripada Indonesia menduduki tempat kedua manakala Flordeliz Mabao mewakili Filipina dipilih pemenang tempat ketiga.

Michaela ketika diumumkan sebagai Miss Scuba International 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Kemenangan berganda buat Michaela apabila turut diumumkan sebagai Miss Photogenic.

Michaela yang ditemui sejurus acara selesai berkata dia tidak menyangka dengan kemenangan itu kerana melihat ramai pesaing daripada negara lain memiliki potensi untuk menang.

Bagaimanapun, Michaela berkata kemenangannya itu akan menjadi pembakar semangat buat dirinya terus menyebarkan maklumat dan kesedaran berkaitan marin kepada semua masyarakat di seluruh dunia.

Peserta Miss Scuba International 2019 mengenakan pakaian nasional masing-masing. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Saya tidak mahu mensia-siakan peluang serta kemenangan ini dan berjanji bakal memberikan sumbangan terbaik buat konservasi marin mahupun industri menyelam selepas ini.

“Kita dapat lihat kesedaran masyarakat berkaitan pencemaran laut masih kurang namun bukan semua individu tiada kesedaran mengenainya.

“Paling penting kita terus berusaha menyampaikan maklumat agar kesedaran ini timbul dan menjadi amalan dalam diri masing-masing,” kata pelajar Sains Marin di salah sebuah universiti di Australia.

Seramai 23 peserta daripada seluruh dunia menyertai Miss Scuba International di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Acara bertempat di Sutera Harbour itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Menerusi kemenangan itu Michaela dijangka melaksanakan kerja sebagai duta mempromosikan konservasi marin dan industri menyelam di seluruh dunia. – SabahNews Today