Pilih Bahasa

Mihas 2019 peluang IKS tempatan tembusi pasaran halal dunia

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ekspo Malaysia International Halal Showcase (Mihas) 2019 memberi peluang cerah kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah menembusi pasaran halal dunia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata 11.9 peratus pasaran halal dunia daripada perbelanjaan global 2016 itu akan memberi manfaat kepada 16 syarikat IKS Sabah untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Madius (duduk tengah) dalam sidang media bersama dengan pengusaha produk tempatan yang akan mewakili Sabah ke ekspo Mihas 2019. Gambar SNT/Ihsan MTI

“Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) melalui Jabatan Pembangunan Perindustian dan Penyelidikan (DIDR) berperanan mempromosikan produk buatan Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa serta menarik pelaburan ke negeri ini.

“Dengan membawa 16 syarikat IKS ke ekspo Mihas di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dijangka memberi peluang baik kepada peniaga untuk membekalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa melalui padanan perniagaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Penyertaan Miti dalam Ekspo Mihas 2019 di Wisma Kewangan, pada hari ini.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Industri berkata padanan perniagaan melalui program penyumberan antarabangsa (International Sourcing Programme) itu akan melibatkan syarikat-syarikat seluruh negara dengan pembeli-pembeli dari luar negara.

“Pada tahun ini, Matrade menjangkakan seramai lebih daripada 150 syarikat pembeli dari negara luar akan menyertai program ini dan dijangka memberi peluang yang baik kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk membekal produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa.

“Melalui penyertaan DIDR dalam pameran Mihas 2018, sebanyak tujuh buah syarikat telah diketengahkan dengan membawa produk-produk makanan, pakaian kesihatan dan kecantikan.

“Penyertaan Mihas 2018 telah berjaya menjana potensi jualan atau eksport sebanyak RM6.3 juta yang mana produk berasaskan udang kering dan koko menjadi tumpuan utama pembeli,” katanya.

Tambahnya Ekspo Mihas berkenaan akan berlangsung pada 3 hingga 6 April.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa penyertaan Miti dalam Foodex 2019 pada 5 hingga 8 Mac lalu, empat syarikat tempatan yang menyertainya berjaya mendapat tempahan jualan keseluruhan berjumlah RM4.96 jualan yang melibatkan 82 kontena setahun dari Jepun, Korea, China, Singapura dan New Zealand.

Jelasnya potensi jualan pula masih dalam peringkat perundingan harga sebanyak RM8.9 juta.

“Ini bermakna sekiranya perundingan harga dapat dipersetujui, prestasi keseluruhan hasil penyertaan dalam Ekspo Foodex 2019 adalah sebanyak RM13.86 juta.

“Dalam pada itu, Miti akan terus memainkan peranan menyelaras penyertaan IKS dalam mana-mana ekspo yang boleh membantu IKS untuk mencari pasaran baharu.

“Ia adalah supaya IKS tempatan dapat maju ke tahap yang lebih tinggi dan juga menarik pelabur datang ke Sabah,” jelasnya. -SabahNewsToday