Pilih Bahasa

MINGGU KESEDARAN OSTEOPORPSIS BANTU MASYARAKAT CEGAH PENYAKIT TULANG

Oleh Alfred Petrus

Razak (depan tiga kiri) bergambar bersama kakitangan HQE 2 dan Jawatankuasa Minggu Kesedaran Osteoporosis 2018 HQE 2 selepas sidang media berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Minggu Kesedaran Osteoporosis 2018 Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 mampu membantu masyarakat untuk memahami berkenaan penyakit tulang yang kebiasaannya akan dialami oleh individu berumur 45 tahun dan keatas.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 Dr Razak Tambi berkata, program berkenaan dijalankan atas inisiatif HQE 2 untuk memberi kesedaran akan risiko yang mungkin akan dialami oleh individu yang kian meningkat umurnya.

“Jika kita lihat, satu daripada tiga wanita berumur 45 tahun keatas di dunia ini akan mengalami osteoporosis dan satu daripada lima kaum lelaki berumur 50 tahun keatas akan mengalami penyakit yang sama.

“Ia adalah satu jumlah yang agak besar dan seseorang yang menghidap osteoporosis berisiko besar untuk tulang mereka semakin lemah dan mudah patah apabila berlaku sesuatu.

“Oleh itu, dengan Minggu Kesedaran Osteoporosis ini mampu memberikan kesedaran kepada orang awam tidak kira umur untuk memulakan kehidupan lebih sihat bagi mengelak penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Minggu Kesedaran Osteoporosis 2018 di Hospital Quuen ELizabeth 2 hari ini.

Katanya, program berkenaan akan diadakan bermula 15 Oktober selama enam hari di lobi HQE2 dan beberapa tempat berasingan lain.

Katanya, dengan menganjurkan program seminggu itu mampu memberikan sedikit sebanyak ilmu berkenaan osteoporosis dan cara pencegahan yang terbaik kepada setiap individu.

“Sempena Hari Tulang Sedunia pada 16 Oktober ini, kami memberi tumpuan pada kecergasan fungsional dan peranan penting yang dimainkan dalam pencegahan dan pengurusan osteoporosis.

“Hal ini kerana jika seseorang menghidap penyakit berkenaan, sudah tentu kadar penyembuhan pada mana-mana tulang adalah lambat berbanding biasa.

“Jika kita mencegah lebih awal, sudah pasti tulang kita akan lebih kuat walaupun berapa pada peringkat umur 45 tahun dan keatas,” jelasnya. -SabahNewsToday