Pilih Bahasa

Minta ibu bapa buat tabungan awal pendidikan anak

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Golongan ibu bapa di negeri ini diingatkan membuat tabungan pendidikan seawal usia kanak-kanak dalam usaha memberikan keperluan pelajaran terbaik buat anak masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setakat Julai tahun ini, terdapat sebanyak 211,354 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka di Sabah dengan jumlah deposit RM133.5 juta.

Ewon (berdiri tiga dari kanan) bersama sebahagian pelajar yang menerima kad akaun SSPN-i sempena Program Jelajah Skim SSPN 2019 Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

Mohd Shafie berkata bilangan itu adalah sebahagian dari 4.2 juta akaun SSPN yang dibuka di seluruh negara dengan deposit bernilai RM5 bilion bagi tempoh sama.

“Kita gembira melihat perkembangan positif ini. Walaupun jumlah berkenaan dilihat banyak selain menunjukkan kesedaran masyarakat berkaitan penabungan pendidikan anak kian bertambah dari semasa ke semasa namun ia masih satu angka yang kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penduduk di negeri ini.

“Tabung pendidikan ini penting disebabkan ia perancangan kewangan awal buat anak-anak untuk melanjutkan pelajaran apabila dewasa kelak.

Ewon (tiga dari kanan) memasukkan ‘duit syiling’ ke dalam replika tabung sebagai simbol perasmian Program Jelajah Skim SSPN 2019 Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan Penerangan

“Mungkin ramai ibu bapa khususnya di negeri ini pernah melalui rasa bimbang apabila anak mereka mahu melanjutkan pelajaran disebabkan faktor masalah kewangan.

“Oleh itu, tabungan awal penting kerana ia bukan sahaja keperluan bagi masa depan anak-anak kita malah memudahkan ibu bapa ketika tiba waktu anak mereka mahu menyambung pelajaran ke peringkat universiti,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Skim SSPN 2019 Peringkat Negeri 2019, dekat sini, hari ini.

Ewon (dua dari kanan) menyampaikan replika kad akaun SSPN-i kepada salah seorang pelajar sempena Program Jelajah Skim SSPN 2019 Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Pelajaran dan inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Dilaksanakan bermula bulan Ogos lalu sehingga September ini, terdapat 11 lokasi dipilih bagi siri jelajah berkenaan di Sabah bagi mendidik masyarakat berkaitan budaya penabungan untuk tujuan pendidikan tinggi melalui SSPN.

Ewon (tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan akaun SSPN-i kepada anak-anak asnaf di 25 parlimen seluruh Sabah sempena Program Jelajah Skim SSPN 2019 Peringkat Negeri 2019 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Dalam ucapan sama, beliau turut memuji usaha proaktif PTPTN dalam mentransformasikan minda masyarakat dalam membuat penabungan pendidikan kerana ia dilihat suatu tindakan bijak dan perlu disambut baik oleh semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berkata paling penting ialah amalan penabungan berterusan disebabkan walaupun tabungan hanyha dimulakan secara sedikit tetapi jumlahnya akan terus bertambah sekiranya dilakukan secara konsisten. -SabahNews Today