Pilih Bahasa

Minuman keras tanpa cukai bernilai RM144,150 dirampas

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Polis Penampang berjaya merampas 1,114 kotak minuman keras dipercayai diseludup bernilai RM144,150 dalam serbuan di tanah lapang, Jalan Lembaga Air Kasigui, di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari oleh polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dua lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan minuman keras.

Minuman keras yang dirampas dalam dua buah lori. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan serbuan dan pemeriksaan bertempat di kawasan tanah lapang yang berpagar.

“Hasil serbuan itu menemui dua buah lori parkir di kawasan tanah lapang yang berpagar dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1,114 karton minuman keras pelbagai jenama.

Omar (tengah) ketika sidang media di IPD Penampang hari ini. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Semua minuman keras ini dipercayai diseludup ke daerah ini dan tidak bayar cukai Kastam,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke IPD Penampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata nilai keseluruhan minuman keras itu dianggarkan RM144,151 selepas cukai.

Omar (kanan) bersama Jauteh dan Mohd Haris memeriksa lori dengan muatan minuman keras seludup. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Dua lelaki dipercayai pemandu lori dan kelindan berusia 20 dan 36 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Minuman keras ini dipercayai untuk pasaran di sekitar daerah ini dan polis masih menyiasat dalang aktiviti penyeludupan minuman keras berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – SabahNewsToday