Pilih Bahasa

MIRA kembangkan sayap ke Sabah

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) kini mengembangkan sayap mereka di Sabah apabila membuka tiga cawangannya di negeri ini, baru-baru ini.

Setiausaha Agung, Kannan Ramasamy, berkata tiga cawangan yang telah dibuka itu ialah di Kota Kinabalu, Inanam serta Tuaran manakala lima lagi dijangka akan turut dibuka dalam masa terdekat.

Ramasamy (duduk tengah) bersama-sama dengan Balasubramaniyam (duduk dua dari kanan), Devendran (duduk dua dari kiri), dan Manogaran (duduk kanan) bergambar bersama pemimpin-pemimpin serta ahli MIRA pada program ramah mesra parti itu di Kampung Kionsom, Inanam, pada Sabtu. Gambar SNT/Ihsan MIRA

“MIRA yang diwujudkan sejak 2017 telah diluluskan pendaftarannya sebagai sebuah parti pada November tahun lalu dan kini mempunyai seramai kira-kira 10,000 ahli di seluruh negara.

“Parti ini ditubuhkan adalah bagi memperjuangkan hak-hak etnik minoriti yang ada di Malaysia, kalau di semenanjung contohnya seperti India, Cina, Orang Asli, Siam dan beberapa lagi manakala di Sabah seperti orang Dusun, Kadazan, Bajau, Murut dan beberapa lagi,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan majlis ramah mesra bersama pemimpin serta ahli MIRA di Kampung Kionsom, Inanam, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Penasihat MIRA, S Balasubramaniyam, Pengerusi MIRA Sabah, Devendran Karpudewir, dan Ketua Cawangan MIRA Inanam, Manogaran.

Ramasamy berkata masih ramai yang belum mengetahui kewujudan parti berkenaan di Sabah namun usaha kini sedang giat dijalankan bagi menarik lebih ramai ahli di negeri ini.

“Dengan pembukaan tiga cawangan dan lima lagi yang masih dalam perancangan, kita jangkakan akan menerima antara 400 hingga 500 ahli di negeri ini.

“Untuk pengetahuan semua juga, MIRA adalah sebuah parti yang menjadi rakan strategik Pakatan Harapan (PH) dan kita telah membantu kempen-kempen mereka pada PRU (Pilihan Raya Umum) serta PRK (Pilihan Raya Kecil) yang lalu.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dari pelbagai aspek khususnya dalam usaha membangunkan etnik minoriti yang ada di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Devendran berkata mereka akan membuka sebuah pejabat MIRA di Sabah bagi memudahkan serta melancarkan lagi operasi mereka di negeri ini.

“Buat masa ini, fokus kami adalah membuka lebih banyak cawangan serta menarik lebih ramai ahli dan selepas itu kita akan membantu ahli-ahli yang menghadapi masalah dari segi hak.

“Antara program yang telah kami rancang juga adalah memberikan tuisyen bagi pelajar yang akan menghadapi SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) serta UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) secara percuma,” katanya.-SabahNewsToday