Pilih Bahasa

Misi Patrol Denggi SK Sri Gaya bermula

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Persiapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya yang akan mewakili negeri ini ke pentas akhir Pertandingan Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan 2019 di ibu negara, kini giat dijalankan.

Guru Besar SK Sri Gaya Alhazmi Abddullah berkata persiapan ini termasuklah mengadakan koloborasi kesedaran bahaya denggi melalui platform multimedia yang akan dimuatnaik di laman sesawang ‘YouTube’.

Pasukan Patrol Denggi SK Sri Gaya merakamkan gambar beramai selepas menjayakan Program Trim and Fit IPD Kota Kinabalu di Kompleks Sukan Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Alhamdulillah pada pagi ini (Jumaat) kita telah mengadakan satu koloborasi dengan pihak keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Kita juga telah mengadakan satu kempen kesedaran bahaya nyamuk aedes kepada pegawai dan anggota polis yang hadir melalui persembahan tarian seramai 30 murid sekolah SK Sri Gaya,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di Likas.

Menurut Alhazmi, sepanjang program Trim and Fit yang dibuat oleh IPD Kota Kinabalu itu juga akan dirakam dan disunting sebelum video berkenaan dimuatnaik.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji bersama Guru Besar Alhazmi Abddullah melakukan senamrobik pada program Trim and Fit IPD Kota Kinabalu di Kompleks Sukan Likas. Turut kelihatan Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya Muhammad Arif Tun Sakaran. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Dalam pertandingan ini, panel juri akan menilai video yang dipertandingkan untuk dimuatnaik dalam ‘YouTube’. Kreativiti video dan mesej penyebaran bahaya denggi kepada masyarakat itu yang akan dinilai,” jelasnya.

Tambah Alhazmi, SK Sri Gaya menjadi wakil tunggal kepada kategori sekolah rendah dalam pertandingan ini.

“Kita sudah bersedia dan akan terus memperbaiki mana-mana kelemahan yang kita ada untuk memastikan kemenangan itu akan dicapai oleh satu-satunya sekolah yang mewakili Sabah,” katanya.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata inisiatif pihak sekolah untuk melibatkan pihak polis dalam menyampaikan mesej kesedaran ini amat dialu-alukan.

“Pihak IPD Kota Kinabalu amat berbesar hati kerana pihak sekolah menjadikan program Trim and Fit pagi ini salah satu medium bagi menjayakan pembikinan video yang akan dipertandingan pada Patrol Denggi Peringkat Kebangsaan nanti.

“Ini merupakan satu tindakan yang baik bagi pihak polis bersama pihak SK Sri Gaya mengadakan kempen bahaya denggi ini seperti cogan kata PDRM, ‘Polis dan Masyarakat, berpisah tiada’. Syabas dan semoga berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG SK Sri Gaya Muhammad Arif Tun Sakaran berkata pihaknya akan bersedia untuk membawa rombongan pasukan patrol ini untuk membuat promosi kesedaran di beberapa tempat yang menjadi tumpuan.

“Kita akan mengadakan promosi kesedaran bahaya denggi ini di beberapa tempat seperti Taman Negara Kinabalu, Taman Tunku Abdul Rahman dan di beberapa pusat beli belah agar matlamat kita dan mesej untuk meningkatkan kesedaran ini diterima orang awam dan juga pelancong.

“Kita telah memenangi Anugerah Emas dalam pertandingan peringkat negeri. Dan semestinya kita meletakkan sasaran untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

“Justeru, video yang akan dihasilkan kali ini lebih menarik dan kreatif dalam menyampaikan mesej kesedaran ini. Dan saya berharap, usaha yang dijalankan oleh guru pengiring dan murid-murid ini membuahkan hasil,” katanya. -SabahNewsToday