Pilih Bahasa

Misi pencarian pemain Liga Super Tambadau belum selesai

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pencarian pemain baharu untuk mengalas cabaran Liga Super skuad Tambadau Sabah tahun depan hanya akan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony akui usaha untuk mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan tidak mudah disebabkan harga yang diminta begitu tinggi.

Peter Anthony bersama AMT Safa ketika ditemui media. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Menurutnya para pemain profesional yang terdiri dari kalangan pemain terbaik rantau ini sememangnya mempunyai harga yang amat tinggi sekali.

“Terdapat permintaan gaji sebanyak USD 35,000 (RM146,0A20) sebulan dan ada juga sehingga USD 50,000 (RM208,600) sebulan,” katanya.

Walaupun demikian, Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur percaya dengan sokongan padu dari semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, Safa mampu membentuk pasukan terbaik untuk saingan dalam Liga Super nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Amal dan Kutipan Sumbangan Tabung Safa untuk 2019/2020 di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Tun Juhar bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie dan Peter Anthony menjulang Piala Liga Perdana 2019 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Dalam pada itu, Peter belum dapat memberi kepastian terhadap posting Facebook tular bekas pemain pertahanan kiri Pahang, Zubir Azmi yang meletakkan bendera Sabah di laman media sosialnya itu.

Namun Peter berkata Sabah kini sedang melihat pemain import tempatan daripada Kuala Lumpur serta pemain-pemain Indonesia selain Korea.

Mengenai majlis makan malam amal itu, Peter mengucapkan terimakasih kepada seluruh penderma yang menyumbang begitu banyak demi kemajuan Safa.

Beliau turut mengucapkan setinggi terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas sokongan yang diberikan kepada persatuan.

Peter berkata majlis tersebut turut diadakan bagi menunjukkan penghargaan kepada para pemain Sabah atas kejayaan menjuarai Liga Perdana musim ini.

“Ada yang dikekalkan dan ada juga yang akan bermain untuk pasukan lain di musim hadapan,” katanya.-SabahNewsToday