Pilih Bahasa

Misi Program Jejak Ramadan bantu kurangkan kadar buta al-Quran

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Seramai 111 sukarelawan Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) cawangan Sabah menjayakan Program Jejak Ramadan di Kampung Balimbang Berjasa Pulau Bum Bum, Semporna.

Pengarah Program, Nur Faizatul Akhmar Noor Yusry berkata program selama dua hari yang bermula 18 Mei itu adalah inisiatif pihak yayasan berkenaan bagi memperkenalkan kelas mengaji yang bakal diadakan di kampung itu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Antara anak-anak kampung Balimbang Berjasa di Pulau Bum Bum yang diraihkan dalam program berkenaan. Gambar SNT / Ihsan YDKMM

“Selaras dengan misi YDKMM untuk mengurangkan kadar buta Al-Quran di Sabah, pihak YDKMM memilih Pulau Bum Bum sebagai salah satu tempat untuk mengadakan kelas mengaji kerana kekurangan tenaga pengajar Al-Quran dan populasi penduduk tempatan yang agak tinggi.

“Bukan itu sahaja, program ini julung kalinya diadakan di sini dan dua kawasan lain iaitu Palu, Indonesia dan Gerik, Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Faizatul berkata sesi kelas mengaji selama dua hari itu mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 150 kanak kanak dan dewasa.

YDKMM menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung yang memerlukan bantuan. Gambar SNT / Ihsan YDKMM

“Dalam sesi kelas mengaji kita mengadakan tadarus al-quran beramai-ramai dengan menghabiskan bacaan 30 juzuk dalam masa dua jam. Bagi anak-anak yang masih kurang mahir mengaji, kita menggunakan modul Iqra sebagai permulaan.

“Kita turut mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti merewang untuk juadah berbuka puasa, baik pulih jambatan sepanjang 50 meter, dan sumbangan telekung ke rumah serta surau,” katanya.

Sukarelawan YDKMM di Pulau Bum-Bum, Semporna. Gambar SNT/Ihsan YDKMM

Program ini turut dibantu sukarelawan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – SabahNewsToday