Pilih Bahasa

Misteri bau busuk terbongkar, mayat bayi ditemui

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Misteri bau busuk dari pondok tinggalan di belakang rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit membongkar penemuan mayat bayi, di Ladang Pangeran, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, pekerja ladang berkenaan bertindak mencari bau busuk di belakang rumahnya dan menemui mayat bayi yang tidak diketahui jantinanya.

Menurut sumber, lelaki berkenaan kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengurus ladang sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Difahamkan fizikal bayi tidak lengkap dimana tangan kiri dan kaki kanan bayi tidak ada.

Mayat bayi kemudian di bawa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Jantina bayi masih belum diketahui dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi,” katanya. – SabahNewsToday