Pilih Bahasa

MKN akan tentukan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan perlu dilanjutkan

PUTRAJAYA, 23 Mac — Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bersidang sebelum tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 31 Mac ini bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum tamat pada 31 Mac, MKN akan bersidang sama ada langkah yang diambil dalam tempoh itu (PKP) memadai atau perlu dilanjutkan untuk tempoh seminggu atau dua minggu dari tarikh tamat pada 31 Mac,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP yang kini berada pada kadar hampir 90 peratus.

“Tetapi masih terdapat mereka yang tidak mematuhi (PKP) yang saya harapkan sampai 100 peratus,” tegasnya.

Beliau berkata dari satu sudut, PKP boleh dikatakan berkesan tetapi jika pergerakan dapat dikurangkan ke paras paling minimum iaitu hanya keluar untuk membeli barangan keperluan, maka ia dianggap berjaya.

Muhyiddin berkata, pihak polis dan tentera sudah diarah untuk menegur orang ramai secara berhemah, supaya mereka segera pulang ke kediaman masing-masing selepas membeli barangan keperluan atau ubat-ubatan.

“Sudah ada penambahbaikan dengan tindakan-tindakan yang diambil Kementerian Kesihatan dengan dibantu agensi lain dan kerjasama semua pihak.

“Ini termasuk kumpulan tabligh yang berbaki belum keluar lagi (membuat saringan COVID-19), kemungkinan besar PKP ini menunjukkan kesan yang positif kalau kiranya data dan angka ini lebih rendah (mereka yang tidak patuh),” katanya.

Muhyiddin juga sekali lagi merayu kepada masyarakat agar duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19.

— BERNAMA