Pilih Bahasa

Mohammad Nor Musyaraf, Nur Aishah dari Sandakan raja dan ratu pecut Saga IX

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Mohammad Nor Musyaraf Mohd Sari dan Nur Aishah Rofina Aling dari Sandakan dinobatkan raja dan ratu pecut baharu Sukan Sabah (Saga) IX.

Kedua-dua pelari itu meraih emas dalam acara 100 meter lelaki dan wanita yang diadakan di Kompleks Sukan Nabawan hari ini.

Mohammad Nor Musyaraf (tengah) muncul raja pecut Saga IX menewaskan Mohammad Din (Kudat) dan Lenell Owen (Penampang) dalam acara akhir di Kompleks Sukan Nabawan. – Gambar SNT/Ihsan KBS

Dalam saingan itu Mohammad Nor Musyaraf mencatat 10.83 saat manakala Nur Aishah Rofina pula melakar catatan masa 12.56s.

Perak bagi kategori lelaki diraih Mohammad Din Norbik (11.10s) dari Kudat manakala gangsa milik atlet Penampang, Lenell Owen Livinus dengan masa 11.10s.

Nur Aishah Rofina (tengah) meraih emas wanita acara 100 meter akhir. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Saingan wanita pula menyaksikan Meselemya Bious yang mencatat 12.84s meraih perak dan wakil tuan rumah Ikma Syaffeira Duris terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila mencatat 13.03s.

Sementara itu, emas bagi acara lompat tinggi wanita dimenangi oleh Vianeybanu Junin dari Sipitang yang mencatat lompatan setinggi 1.54 meter.

Michelle Cornelius Lucas Mosiri dari Putatan dan Eglozie Trecia yang mewakili Tawau masing-masing memperolehi perak dan gangsa dalam acara itu.

Acara 4×100 meter wanita akhir dimenangi kuartet dari Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Bagi acara 800 meter lelaki akhir, emas dimenangi oleh atlet Ranau, Muhammad Syafiq Aqil Yusof (2minit 02.80S) manakala perak dan gangsa masing-masing diraih Firdaus Mohd Zamri (Kudat) dengan masa 2m 03.12s dan Muhammad Syakir Hazwan (Beaufort) 2m 04.87s.

Acara 4×100 meter wanita akhir dimenangi oleh kuartet dari Tawau dengan masa 50.20s, diikuti Sandakan dan Tuaran untuk kedudukan perak dan gangsa selepas mencatat 50.62s dan 50.66s.

Kontinjen Kota Kinabalu yang meraih emas acara 4×100 meter akhir. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Bagi kategori 4×100 meter lelaki pula emas dikuasai kuartet Kota Kinabalu yang mencatat 42.86s sekaligus menewaskan pesaing mereka dari Sandakan dan Tawau yang meraih perak dan gangsa dengan masa 43.17s dan 43.99s. – SabahNewsToday