Pilih Bahasa

Mohd Shafie ketuai delegasi Sabah ke Kalimantan Timur

Delegasi Sabah yang diketuai oleh Mohd Shafie (kanan) mengadakan pertemuan dengan Isran Noor dan para perwakilan dari Kalimantan Timur. – Gambar SNT/Ihsan JKM

BALIKPAPAN, INDONESIA: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memulakan lawatan kerja Kalimantan Timur (Kaltim) pada hari ini dan diiringi jemaah menteri Kabinet negeri.

Beliau yang mengetuai delegasi berkenaan turut ditemani Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhamad Sulaiman Sepinggan Balikpapan, Kalimantan Timur pada pukul 9 pagi tadi.

Ketibaan Ketua Menteri bersama isteri dan rombongan disambut oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani dan Plt Asisten Pemerintahan dan Kesejahteraan Rakyat Setda Wilayah Kaltim, M Jauhar Fendi.

Jaujan (kanan) bersalaman dengan Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor sambil diperhatikan oleh Mohd Shafie (kiri). – Gambar SNT/Ihsan JKM

Lawatan kerja ke Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara selama tiga bermula hari ini dengan pertemuan bersama Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor bagi membincangkan tentang pembangunan Kalimantan Timur berikutan rancangan pemindahan Ibu kota Indonesia ke Kaltim.

Pada sebelah petang, Mohd Shafie dan rombongan mengadakan lawatan ke tapak Projek Lebuh Raya Balikpapan-Samarinda.

Dalam majlis berasingan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Yusof Yacob mengadakan sesi dialog dan menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Balikpapan.

Delegasi turut disertai oleh dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hashim Paijan. – SabahNewsToday