Pilih Bahasa

Mohd Shafie naik motosikal lawat pusat mengundi

Oleh Junaidi Ladjana

Mohd Shafie menaiki motosikal ketika melawat pusat daerah mengundi di Kimanis. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KIMANIS: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kelainan tersendiri apabila sanggup ‘berpanas’ dengan menaiki motosikal untuk melawat semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kimanis, hari ini.

Mohd Shafie yang membonceng motosikal berkonvoi sejak awal pagi tadi untuk melawat ke semua PDM bermula di Bongawan.

Beliau yang tiba di PDM Batu Enam, Kalatuan disambut meriah oleh orang ramai dan mereka tidak melepaskan peluang untuk berselfie.

Katanya, beliau tidak kisah dengan panas terik pada tengah hari ini bagi menyaksikan sendiri proses pengundian berjalan dengan lancar. 

“Ada jalan sempit, guna motosikal lebih cepat untuk saya sampai masuk ke PDM.

“Kalau saya tidak naik motosikal tidak sampai lah, jammed.

“Ini adalah PDM kelima dan kita ada 19 PDM yang akan ditutup jam 5.30 petang,” katanya.

MOhd Shafie (tengah) semasa melawat pusat daerah mengundi Kimanis. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah menasihatkan semua pengundi yang terbabit di PRK Kimanis ini untuk menunaikan tanggungjawab mereka. 

“Alhamdulillah, proses perjalanan pilihan raya di Kimanis ini berjalan lancar. Saya turut memantaunya ada setengah tempat peratusannya sudah mencecah 30 peratus, ada setengah tempat sudah cecah 21 peratus… penting bagi kita perjalanannya kerana ia dilaksana dengan baik. 

“Di sini, tidak ada masalah sangat dari segi insiden tidak ingini. Kita berharap dan berdoa proses demokrasi iaitu untuk mereka setiap rakyat Malaysia dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya. – SabahNewsToday