Pilih Bahasa

Mohd Shafie setuju adakan usul tergempar Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan usul tergempar bagi mengembalikan status Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya ia akan membantu kerajaan melalui semangat kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk mendapatkan suara keseluruhan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ini mampu membantu kita untuk mengembalikan status Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan melalui suara-suara keseluruhan Ahli Undangan Negeri (Adun) di dewan ini.

“Saya yakin, jika kita lihat, seperti yang dinyatakan, ianya tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Jangan hanya kerana perkataannya, membantutkan usaha kita untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Masidi Manjun (Bersatu-Karanaan) yang mencadangkan untuk mengadakan usul tergempar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-15, di sini, hari ini.

Mohd Shafie menegaskan bahawa usul tersebut tidak menjadi masalah kepadanya jika ia dibahaskan dalam sidang Dun tersebut.

Tambahnya apa sahaja cadangan mahupun kehendak sidang Dun termasuklah tuntutan geran khas 40 peratus dari kerajaan persekutuan, duti setem mahupun royalti minyak turut akan menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Pandangan ini sangat bertepatan dan saya meminta mungkin Adun Karanaan boleh membawa usul ini seterusnya kita dapat menyokong agenda ini.

“Ia supaya kita dapat menjayakan agenda ini bersama-sama bukan hanya dari segi perundangan, bahkan jauh penting daripada bagi memastikan hak-hak kita dikembalikan untuk generasi kita,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata cadangan untuk mengadakan usul tergempar agar semua Adun menyokong usaha pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia supaya kita dapat menjernihkan keadaan yang nampaknya lebih bermain kepada semantik.

“Usaha ini membolehkan kita menyokong kepada pindaan ini agar siapa juga Ahli Parlimen yang bercakap nanti, dia hendaklah mengambil suara semua Adun ini,” katanya. -SabahNewsToday