Pilih Bahasa

MOHON PENCARI KERJA LEBIH BERHATI-HATI ELAK JADI MANGSA PEMERDAGANGAN MANUSIA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABLU: Kerajaan meminta semua pencari kerja di negara ini lebih berhati-hati khususnya membabitkan iklan kekosongan pekerjaan menerusi laman sosial.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata langkah itu bertujuan bagi mengelakkan rakyat tempatan ditipu sekaligus terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman (dua kiri) mendengar sendiri pengalaman tiga rakyat Sabah daripada 47 rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Kemboja ekoran dipercayai terbabit aktiviti perjudian atas talian sewaktu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Azis berkata menerusi kecanggihan teknologi masa kini, terdapat banyak kes penipuan dilakukan pihak kurang bertanggungjawab semata-mata untuk mengaut keuntungan.

“Kita kena harus sentiasa berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan semua tawaran lumayan diberikan pihak pemberi kerja.

“Selidik secara terperinci terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima pekrjaan yang diberikan. Saya harap kejadian sama seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui ketika menyambut kepulangan tiga warga Sabah yang dibebaskan pihak berkuasa Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota KInabalu (KKIA) malam semalam.

Tiga individu berkenaan ialah Jeffrydean Jude, 19 dan Philip Ho Chee Chin, 25, dan Chong Su Kyun, 37.

Semua warga Sabah terbabit adalah antara 47 rakyat Malaysia yang menjadi tahanan pihak berkuasa Kemboja berikutan dipercayai terbabit aktiviti perjudian haram atas talian.

Terdahulu, rakyat Malaysia berusia antara 19 sehingga 44 tahun berkenaan ditahan sejak 11 Disember lalu di penjara wilayah Banteay Mancheay yang terletak kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh.

Dalam pada itu, Azis berkata pihaknya kini sedang melaksanakan siasat berkaitan kes penipuan itu berikutan ia sudah menjadi isu utama antara dua negara.

“Siasatan masih diteruskan dan pastinya harapan kita supaya sindiket ini dapat ditumpaskan hingga ke akar umbi.

“Selain itu, kita juga sentiasa mendapat infomasi daripada pihak berkuasa di Kemboja dari semasa ke semasa berkaitan kes ini,” katanya. –SabahNews Today