Pilih Bahasa

Motac cadang wujudkan Kompleks Kraf di Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ketua Menteri Datuk Mohd. Shafie Apdal melihat dengan lebih dekat produk yang ada di Festival Borneo Textile Craft di Suria Sabah pada Ahad. Bersama beliau Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi (kiri) dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ibrahim Ismail (dua dari kiri). Gambar SNT/Ihsan JKM

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bercadang mewujudkan Kompleks Kraf di Sabah bertujan menggalakkan pembangunan industri tekstil kraf di negeri itu.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata penubuhan kompleks itu mampu mengasah bakat golongan muda dalam bidang kraf tempatan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan kepada masyarakat.

“Usahawan kraf mikro di Sabah dan Sarawak merupakan antara golongan yang tersenarai di bawah B40 dan terdapat seramai 2,032 di Sabah dan 821 orang di Sarawak.

“Sehubungan itu kementerian menerusi Kraftangan Malaysia telah mengambil langkah mengurangkan jumlah golongan B40 ini dengan membangunkan usahawan kraf melalui beberapa inisiatif.

“Antaranya seperti Program Base (Becoming A Successful Entrepreneur) yang memberikan penekanan kepada kemajiran teknikal, perniagaan dan rangsangan komuniti bagi meningkatkan daya saing dan kesejahterraan usahawan kraf,” katanya dalam ucapan sempena Festival Kraf Tekstil Borneo di kompleks beli belah di Suria Sabah di sini hari ini.

Festival yang diadakan bermula 12 hingga 21 April ini dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohamaddin berkata pelbagai aktiviti diketengahkan dalam festival tersebut iaitu jualan kraf dan aksesori oleh seramai 87 usahawan kraf, pameran produk baharu, interaktif kraf, peragaan fesyen, Textile Borneo Talk dan persembahan kesenian.

Katanya secara keseluruhan prestasi utama kraftangan di negara ini amat memberangsangkan dengan nilai jualan kraf pada 2018 mencatatkan RM506.5 juta manakala nilai kraf Sabah dan Sarawak masing-masing RM49 juta dan RM30.5 juta.

“Saya yakin festival ini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat menggunakan produk kraf tekstil buatan tempatan sebagai satu gaya hidup bagi menyemarakkan semangat cintakan seni warisan kraf tempatan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya. – SabahNewsToday