Pilih Bahasa

Motac lancar operasi bersepadu bersama polis dan JPJ

Oleh Junaidi Ladjana

Motac bersama polis dan JPJ menjalankan Ops Bersepadu di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / ihsan MOTAC

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melaksanakan Ops Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesan salah laku dalam kalangan pengusaha dan pekerja pelancongan di negeri ini.

Operasi selama dua hari yang bermula Jumaat lalu itu diadakan di empat lokasi berasingan.

Antara lokasi operasi iaitu di Stesen Penguatkuasa JPJ Telipok, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Jalan Kota Belud –Tuaran dan pusat pelancongan Jesselton Point.

Pengarah Motac Sabah, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar berkata sepanjang operasi itu, pihaknya memeriksa sebanyak 151 kenderaan pelancongan dan pemandu pelancong yang beroperasi di negeri ini.

Bas pelancong diperiksa dalam Ops Bersepadu oleh Motac, polis dan JPJ di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Motac

“Hasilnya Motac mengeluarkan sebanyak 28 notis terhadap pengusaha dan pemandu pelancong atas pelbagai kesalahan iaitu tidak menggunakan kenderaan pelancongan, tiada pemandu pelancong dan lesen pemandu pelancong tamat tempoh serta kesalahan tidak membawa permit asal kenderaan pelancongan.

“Selain itu, pihak JPJ dan polis trafik yang turut menyertai operasi ini masing-masing mengeluarkan 21 dan 56 saman mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, operasi ini mensasarkan kenderaan pelancongan dan syarikat pelancongan yang melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta JPJ.

“Operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha syarikat pelancongan dan pemandu pelancong sentiasa menuruti undang-undang yang ditetapkan.

“Operasi ini juga bagi memastikan keselamatan pelancong yang datang ke negeri ini sentiasa terjamin menerusi penguatkuasaan memastikan setiap kenderaan yang digunakan berada pada tahap yang memuaskan,” katanya. – SabahNewsToday