Pilih Bahasa

Motac sedia bantu bina inap desa, chalet Gua Madai

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Lawatan kerja rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ke Gua Madai Kunak. – Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedia membantu memberi kerjasama membangunkan inap desa dan chalet di kawasan Gua Madai jika mendapat permohonan daripada pemilik dan pewaris sarang burung berkenaan. 

Menterinya, Datuk Mohamadin Ketapi berkata kekayaan hasil sarang burung di gua itu mampu menjadi tarikan baharu buat pelancong untuk berkunjung ke lokasi berkenaan sekaligus menjana ekonomi negara dalam sektor pelancongan. 

“Lokasi ini (Gua Madai) banyak boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong tertakluk kepada pewaris dan pemilik sama ada setuju atau tidak.

Mohamadin Ketapi (berdiri, dua dari kanan) melihat cara pemilik dan pewaris sarang burung membahagikan hasil tuaian. – Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Namun kita akan berbincang bersama pemilik dan akan bekerjasama dengan mereka. Kerajaan sedang menunggu permohonan daripada pemilik dan pewaris sarang burung ini untuk bina inap desa dan chalet kepada pelancong yang datang ke sini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Gua Madai, dekat sini hari ini. 

Katanya jika tidak ada permohonan daripada pemilik dan pewaris sarang burung untuk membangunkan kawasan itu, perniagaan sarang burung yang majoritinya dikendalikan oleh suku kaum Idahan mampu memberi keuntungan kepada negara.

Mohamadin Ketapi bersama rombongan selepas lawatan kerja rasmi ke Gua Madai. – Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kerajaan mendapat keuntungan 10 peratus hasil cukai daripada jualan sarang burung. Ini bermakna kerajaan tidak mengalami kerugian. 

“Jika dua kali tuai mampu menghasilkan 3 hingga 4 tan setahun. Sekali tuaian sarang burung ini nilainya jutaan ringgit. 

Dalam pada itu beliau juga akan membincangkan di peringkat kementerian supaya program Experience Madai/Alami Madai dapat diangkat sebagai satu lagi produk pelancongan dalam membantu komuniti setempat. 

“Idea ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutama kaum Idahan di kawasan berkenaan. 

“Sebagai contoh kita boleh wujudkan peluang pekerjaan kepada mereka dengan menajadi pemandu arah kepada pelancong yang berkunjung ke Gua Madai, aktiviti-aktiviti lasak, inap desa, kraftangan dan sajian makanan tradisional kaum Idahan. 

“Apa yang lebih utama adalah hasrat supaya kawasan hutan simpan di sini dikekalkan kesinambungannya untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” jelasnya. – SabahNewsToday