Pilih Bahasa

Motosikal bertembung, dua penunggang maut

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Dua penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng parah selepas motosikal dinaiki bertembung, di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu-Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, penunggang motosikal dikenali Ibnizar, 32, bersama pembonceng wanita, 20 sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Jalan Silam.

Salah satu motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Lahad Datu-Tawau. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Katanya apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terseret lalu bertembung dengan motosikal jenis Yamaha yang ditunggang seorang lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penungggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng motosikal cedera parah.

“Mangsa yang parah masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah lagi motosikal yang terlibat dalam pertembungan turut mengalami kerosakan teruk. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Beliau berkata kes kini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai. – SabahNewsToday