Pilih Bahasa

MPKK bertanggungjawab penuhi aspirasi kerajaan PH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kursus Induksi anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dapat membantu dan memudahkan MPKK melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berkesan bagi memenuhi aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ilmu yang diperolehi para peserta kursus itu dapat membantu kerajaan merealisasikan usaha membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara.

Rina berkata kerajaan PH mahu perkhidmatan kepada rakyat benar-benar dilaksanakan dan dibuktikan bukan sekadar memberikan janji tanpa sebarang pelaksanaan.

Rina (tengah, duduk depan) bersama Dr Yusof Yacob dan Ewon

“MPKK adalah ibarat kerajaan paling bawah yang peranan dan tanggungjawabnya begitu besar dan sangat relevan.

“Ini kerana mereka adalah penghubung di antara rakyat luar bandar dengan kerajaan, tanpa MPKK mustahil untuk kerajaan negeri dan Persekutuan menyalurkan semua keperluan rakyat yang masih belum diliputi.

“MPKK bertanggungjawab menyalurkan maklumat-maklumat ini kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan,” katanya.

Rina menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Interaksi Menteri Pembangunan Luar Bandar Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di sini hari ini.

Program itu melibatkan penyertaan seramai 824 Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari tujuh daerah iaitu Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Membakut, Beaufort, Kota Belud dan Labuan.

Hadir sama ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu, katanya bagi tujuan perancangan pembangunan luar bandar Sabah pada masa akan datang, MPKK perlu mengambil tanggungjawab untuk mengenalpasti keperluan prasarana asas kampung masing-masing.

Ujarnya, MPKK perlu mempunyai pangkalan data atau profil kampung yang sentiasa dikemaskini.

Beliau berkata dengan adanya data kampung yang lengkap dan dikemaskini akan memudahkan perancangan pembangunan dibuat oleh kerajaan. – SabahNewsToday