Pilih Bahasa

MPKK Dangulad anjur program Komuniti Hebat

Oleh Sabah News Today

KENINGAU: Lebih 100 orang penduduk menghadiri program Komuniti Hebat anjuran Biro Pendidikan, Sukan serta Hal Ehwal Wanita dan Komunikasi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dangulad dekat sini semalam.

Pengerusinya, Costille Devy Jaimis berkata sebanyak tiga aktiviti dilaksanakan sempena program itu antaranya Bimbingan Penulisan Minit Mesyuarat, Penyediaan Kertas Kerja dan senamseni bertujuan memantapkan lagi pengurusan MPKK seterusnya memupuk semangat permuafakatan penduduk setempat.

Komuniti Kampung Dangulad bersama barisan penceramah. Gambar SNT/Ihsan MPKK Dangulad

Katanya bagi bimbingan Penulisan Minit Mesyuarat pihaknya mendapat kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Warisan Sabah P.180 Keningau Delsum Abdullah yang juga sebagai mentor MPKK, manakala Senamseni daripada Guru Senamseni Sekolah Daerah Keningau Mohazar Mahat.

“Program ini sangat penting dalam memperkasakan lagi pengurusan MPKK terutama Barisan AJK yang dilantik agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan serta berkualiti,” katanya ketika berucap dimajlis perasmian penutupan program.

Sehubungan itu, Costille menyeru semua peserta khususnya belia yang menyertai aktiviti agar menggunakan pengalaman serta ilmu yang diperolehi untuk menyumbang kepada kecemerlangan pengurusan MPKK kelak.

Katanya sebagai pengerusi MPKK yang baharu, pihaknya akan mengadakan program seumpama ini sebagai program tahunan selain mengadaka tiga program lagi menggunakan geran yang bakal diberikan kerajaan.

Costille menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohazar (kanan). Gambar SNT/Ihsan MPKK Dangulad

“Kita ada program Paguguyuwan Takau (gotong royong) membabitkan sembilan blok atau kawasan yang dijangka disertai 130 ketua rumah, Ceramah Penubuhan Koperasi dan Penjagaan Kesihatan dengan kerjasama pihak berkaitan kerajaan dan swasta,” katanya.

Majlis diserikan lagi dengan sesi bengkel,senamseni, pameran serta penyampaian sijil penghargaan .-SabahNewsToday