Pilih Bahasa

MPKK diarah perkasa Perintah Kawalan Pergerakan peringkat kampung

Bernama

TENOM: Ketua Kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di daerah ini diarahkan memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan di peringkat kampung.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kemabong, Burnley Balang berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom menerima laporan terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengendahkan perintah tersebut.

“Hasil pemantauan pihak jawatankuasa, masih ada yang menganjurkan majlis perkahwinan, pertunangan, majlis hari jadi, majlis 100 hari, 40 hari, acara sukan dan majlis suka-suka.

“Seperti yang sedia maklum bahawa apa sahaja bentuk majlis atau program melibatkan perhimpunan ramai adalah tidak dibenarkan sepanjang perintah kawalan pergerakan ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom mengambil serius tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom yang dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah, Mas Syazwan Masood bagi mewakili Pegawai Daerah, Sungkim Rumangun, di sini kelmarin.

Jabatan yang terlibat dalam mesyuarat tersebut adalah Pejabat Daerah Tenom, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Penerangan, Majlis Daerah Tenom dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Tambahnya, setakat kelmarin Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong tidak mencatatkan sebarang kes jangkitan Covid-19.

Justeru itu katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom menasihati semua masyarakat di daerah ini diharapkan dapat bekerjasama dalam mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.- SabahNewsToday/Japen