Pilih Bahasa

MPKK digesa segera hantar permohonan geran bagi aktiviti kampung masing-masing

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri diminta menyegerakan profil kampung serta kertas kerja untuk permohonan geran sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan aktiviti kampung.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ia berikutan masih banyak baki peruntukan yang belum digunakan.

Jaujan (lima dari kiri) bergambar dengan semua peserta kursus sempena Kursus Induksi MPKK Negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kita hanya mempunyai baki beberapa bulan sahaja untuk membelanjakan peruntukan yang sudah tersedia malahan masih memiliki baki yang banyak kerana belum ramai MPKK mengemukakan permohonan bagi memdapatkannya.

“Oleh itu, kita berharap semua MPKK di kawasan masing-masing dapat segera mengadakan mesyuarat bersama penduduk kampung bagi menentukan program serta aktiviti yang hendak dilaksanakan.

“Saya mahu melihat kira-kira 412 kampung terdapat di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dapat mengemukakan permohonan ke pejabat daerah terdekat selaku penyelaras dengan segera,” katanya ketika sidang media melepas merasmikan Kursus Induksi MPKK Negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan, dekat sini, hari ini.

Jaujan (tiga dari kanan) menunjukkan cenderamata yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Che Murad Sayang Ramjan (dua dari kanan) sempena Kursus Induksi MPKK Negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kota Kinabalu. Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Beliau hadir bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Berlangsung selama tiga hari bermula 2 Julai, kursus berkenaan membabitkan kira-kira 824 orang peserta terdiri daripada pengerusi dan setiausaha MPKK daripada tujuh buah daerah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara daerah terbabit termasuklah Kota Kinabalu, Putatan, Membakut, Beaufort dan Kota Belud.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya MPKK sentiasa menyokong dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan bukannya untuk kepentingan parti tertentu.

Beliau berkata MPKK perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk mendengar permasalahan rakyat dan disampaikan kepada pihak berkuasa demi memastikan kemajuan serta pembangunan kampung dapat dilakukan. -SabahNews Today