Pilih Bahasa

MPKK disaran jalin kerjasama erat dengan agensi kerajaan

Oleh Alfred Petrus

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan watikan pelantikan MPKK kepada salah seorang penerima, – Gambar SNT/Ihsan KPLB

TELUPID: Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri disaran menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan kampung.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata ia kerana MPKK adalah duta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membantu membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar.

“Saya maklum pelantikan anggota MPKK di seluruh Sabah hampir semuanya muka-muka baru.

“Oleh itu, saya berharap para Pengerusi MPKK, Setiausaha dan 11 biro yang dilantik dapat memantapkan kerjasama dan menjalankan amanah yang diberikan secara berpasukan dan penuh tanggungjawab.

“Terdapat 11 biro di dalam MPKK iaitu Biro Pembangunan Prasarana, Biro Keselamatan dan Kesihatan, Biro Pengurusan Kewangan, Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Biro Kesejahteraan dan Keceriaan, Biro Pendidikan dan Inovasi, Biro Pemantapan Spiritual, Biro Kebajikan dan Kesukarelawan, Biro Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Biro Infostruktur dan Komunikasi dan Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga,” katanya.

Ewon (duduk tengah) bergambar bersama sebahagian daripada pengerusi-pengerusi MPKK Dun Labuk. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Labuk melibatkan daerah Telupid dan Beluran, di Dewan Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid, hari ini.

Ewon turut menyeru semua pengerusi MPKK supaya mengadakan kunjungan ke pejabat-pejabat kerajaan termasuk pejabat daerah dan pejabat KPLB Persekutuan.

Sementara itu, katanya berkenaan permohonan geran MPKK tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi aktiviti keceriaan dan kesejahteraan kampung.

“Bagaimanapun, tidak semua MPKK akan mendapat geran ini kerana keterbatasan peruntukan untuk tujuan tersebut sepertimana diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, iaitu RM100 juta bagi seluruh Malaysia, berbanding dengan jumlah MPKK seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 16,481 buah MPKK. Hanya 10,000 MPKK dijangka mendapat manfaat daripada geran tersebut.

“Di Sabah pula, terdapat sebanyak 2,853 buah MPKK di seluruh negeri. Jadi, saya berharap Pengerusi serta anggota-anggota MPKK di seluruh Sabah dapat bekerjasama sebaiknya merebut geran tersebut berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh KPLB Persekutuan.

“Ia juga berasaskan kepada ‘first come, first serve’. Justeru, saya berharap ini adalah antara keutamaan yang harus diambil tindakan oleh MPKK di Labuk ini,” katanya.

Ewon turut menyeru agar Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dapat menyelaraskan taklimat keselamatan MPKK dan Ketua-ketua Kampung bersama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi memperkasakan kerjasama dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah di kampung masing-masing. -SabahNewsToday