Pilih Bahasa

MPKK Kadamaian akan ditambah: Ewon

KOTA KINABALU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian akan ditambah berdasarkan keperluan Satu kampung Satu MPKK.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata Kadamaian ketika ini mempunyai seramai 74 MPKK yang telahpun menerima watikah pelantikan masing-masing beberapa bulan lalu.

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Kampung Tamalang Taginambur Kota Belud. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Penambahan MPKK ini penting untuk memudahkan pengurusan dan melancarkan pelaksanaan pembangunan di kampung berkenaan.

“Ini kerana ada Pengerusi MPKK di Sabah termasuk Kadamaian yang menjaga sehingga tiga buah kampung kerana tiada penambahan atau pengujudan kouta perjawatan tambahan JKKK sebelum ini.

“Oleh itu, Kabinet telah bersetuju terhadap semakan keperluan sebenar urus tadbir kampung ini supaya perjawatan itu ditambah berdasarkan keperluan Satu Kampung Satu MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tamalang Taginambur Kota Belud, di sini, hari ini.

Tambahnya bagi kawasan Kadamaian, kerajaan bersetuju untuk menambah 18 lagi MPKK.

Katanya semua pejabat daerah di seluruh Sabah telah mengenal pasti kampung-kampung yang perlu diwujudkan jawatankuasa MPKK yang baharu dan akan membentangkan jumlah penambahan jawatankuasa MPKK yang baharu kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Ewon (kanan) turut mengadili pertandingan makanan tradisional pada majlis itu. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Dalam perkembangan lain, Ewon berkata sambutan Pesta Kaamaan akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada rakyat seluruh negeri untuk terus bersatu padu seterusnya memantapkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Selain itu, katanya perayaan Pesta Kaamatan di peringkat kampung juga dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara penduduk kampung dan pemimpin masyarakat setempat. -SabahNewsToday