Pilih Bahasa

MPKK perlu tahu urus tadbir penduduk kampung

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang baharu dilantik perlu mengetahui tugas dan tanggungjawab mereka dalam urus tadbir penduduk kampung di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata lantikan yang diberi bukan atas sekeping kertas yang bertulis nama jawatan namun berkhidmat kepada rakyat adalah agenda utama yang perlu diambil serius.

Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK Daerah Semporna diakhiri dengan sesi bergambar. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata, MPKK juga perlu bijak mengurus pembangunan kerana ia menjadi petanda kepada kemajuan sesuatu kampung berkenaan.

“Pastikan kawasan rumah berada dalam keadaan baik, memiliki jambatan, balai raya, dan kemudahan komuniti kampung.

“Saya berharap tidak ada lagi wujud permohonan secara individu. Kita mahu kampung dirancang dengan baik dan pembangunan haruslah menjurus kepada kepentingan rakyat bukannya kepentingan individu.

“Sudah tentu perubahan ini adalah daripada peringkat akar umbi. Sebab itulah MPKK ini diperkasakan fungsinya kerana diperingkat itulah memerlukan perhatian samaada diperingkat kerajaan pusat dan negeri,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan MPKK Daerah Semporna, di sini tadi.

Antara MPKK yang menerima watikah perlantikan. Gambar SNT /Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu, Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong menyeru pemimpin MPKK laksanakan tugas yang utama iaitu dari segi kebersihan kampung.

“Saya memberi penekanan ini kerana terdapat empat kes denggi dicatatkan berlaku di daerah ini.

“Jadi ini adalah satu tugas kepada semua MPKK yang dilantik bergiat aktif bersama-sama dengan penduduk untuk menjaga persekitaran kampung supaya sentiasa bersih daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,”katanya.

Dalam majlis itu, seramai 100 MPKK dilantik di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Semporna.

Seorang pemimpin termuda MPKK di DUN Senalang, Rosimah Mohd Amin, 27, berkata misinya selepas ini adalah untuk membantu penduduk miskin di kawasannya.

“Saya akan bantu mereka mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) dan baik pulih rumah.

“Saya juga akan memastikan anak-anak muda di kampung saya mendapat peluang pekerjaan kerana pada masa kini masih ramai golongan muda yang masih menganggur.

“Dari segi kebersihan pula, tidak menjadi masalah kerana kampung saya memang mengutamakan aspek kebersihan dan tidak ada kes denggi dilaporkan di kawasan kampung saya,” katanya. – SabahNewsToday