Pilih Bahasa

MRA Sabah bantu mangsa banjir

Oleh Sabah News Today

Norizhuan (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir. – Gambar SNT/Ihsan MRA Sabah

BEAUFORT: Belum pun sempat mangsa banjir yang berlaku minggu lalu di daerah ini membersihkan rumah masing-masing, banjir gelombang ketiga telah berlaku lagi yang melibatkan lebih 200 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon, Beaufort.

Menurut Penyelaras Malaysian Relief Agency (Sabah) Sekretariat Pedalaman Bawah, Mohammad Norizhuan Awang mereka telah membuat tinjuan sejak semalam sejurus PPS dibuka semula.

“Kami telah dimaklumkan bahawa PPS Selagon telah dibuka semula petang kelmarin dan kami bergegas ke lokasi untuk meninjau keperluan untuk disumbangkan para mangsa banjir.

“Hari ini pihak MRA Sabah telah menyampaikan 150 Pek Kebersihan untuk setiap mangsa banjir pagi tadi. Pek Kebersihan ini adalah untuk kegunaan para mangsa banjir agar mereka dapat sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya lagi, MRA Sabah bukan sahaja bergerak di Beaufort, malah ke daerah lain yang terjejas akibat banjir seperti Kudat, Tenom dan Kemabong.

Katanya MRA Sabah selaku badan bukan kerajaan akan sentiasa peka dengan nasib mereka yang memerlukan, justeru sumbangan daripada orang ramai amat diperlukan agar MRA dapat meneruskan kerja membantu mereka yang memerlukan.

“MRA Sabah memohon sokongan dan sumbangan bagi membantu mereka yang terjejas dalam bencana banjir tersebut.

“Sumbangan anda boleh terus disalurkan melalui Tabung Misi Bantuan Banjir Sabah melalui akaun maybank Malaysian Relief Agency (Sabah) di nombor 5602 4102 1056,” katanya.

Keterangan lanjut boleh menghubungi Pejabat MRA Sabah ditalian 013 337 3316. – SabahNewsToday