Pilih Bahasa

`Muhyiddin kawan lama, beliau tahu pendirian saya,’: Mohd Shafie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Shafie (tengah) semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Adun dan Ahli Parlimen blok kerajaan negeri. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) dan Datuk Christina Liew (kanan). – Gambar SNT/Ihsan IM

KOTA KINABALU: “Tan Sri Muhyiddin Yassin amat mengenali saya dan tahu pendirian saya… kami suda lama bersahabat,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata demikian ketika ditanya reaksi Muhyiddin yang disifatkan ramai sebagai sahabat baik beliau berhubung pendirian kerajaan Sabah diketuai Parti Warisan Sabah (Warisan) yang kekal menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau (Muhyiddin) kawan lama saya dan beliau tahu pendirian saya. Saya sudah maklumkan dan beliau memahami bahawa saya akan menyokong Tun Mahathir.

“Kejelasan perlu ada selaku ahli politik. Nilai-nilai ini penting kerana kita kena fokus untuk membangunkan negeri kita. Bagi saya, rakyat dan negeri Sabah adalah kepentingan utama selaku pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen blok kerajaan negeri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) petang tadi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sudah tiba masanya perubahan budaya politik di negara ini diamalkan dalam kalangan wakil rakyat itu sendiri.

“Sabah kena mulakan perubahan ini, kita perlu tunjukan nilai-nilai positif dalam berpolitik untuk menjaga kepentingan rakyat dan negeri ini,” jelasnya sambil menambah tuntutan terhadap hak-hak istimewa Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan tetap diteruskan.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar kerajaan dengan kerajaan atau Government to Government’ dan bukannya politik,Not party to party’.

Contohnya Kementerian Pelajaran dan Inovasi di Sabah akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan begitu juga Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat. – SabahNewsToday