Pilih Bahasa

Muhyiddin lantik enam menteri penuh, 10 timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak

Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melantik enam pemimpin dari Sabah dan Sarawak menganggotai Kabinet, yang beliau umumkan hari ini.

Selain enam menteri penuh berkenaan, 10 lagi pemimpin dari kedua-dua negeri itu turut dilantik sebagai timbalan menteri dalam pelbagai kementerian.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, diantik sebagai Menteri Kerja Raya yang merupakan salah seorang daripada empat menteri kanan, manakala Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi pula, dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan pula diterajui Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri, manakala Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula diketuai Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili diberi kepercayaan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, yang baharu diwujudkan di bawah Kabinet Muhyiddin.

“Kerajaan juga serius untuk menangani isu-isu pembangunan dan kemajuan sosioekonomi rakyat, di Sabah dan Sarawak.

“Kabinet saya akan memastikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan diterjemah dalam bentuk dasar dan program, yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di negeri Sabah dan Sarawak,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan pewujudan portfolio baharu berkenaan.

Sepuluh timbalan menteri yang dilantik pula ialah masing-masing empat dari Sabah dan enam dari Sarawak.

Timbalan menteri dari Sabah ialah Datuk Abd Rahim Bakeri (Kementerian Pertahanan), Arthur Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Jonathan Yassin (Kementerian Dalam Negeri) dan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).

Timbalan menteri yang dilantik dari Sarawak pula ialah Datuk Hanifah Hajar Taib (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Ali Anak Biju (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Aaron Ago Dagang (Kementerian Kesihatan), Datuk Henry Sum Agong (Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Willie Anak Mongin (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Seri Tiong King Sing (Kementerian Perpaduan Negara).

Di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, empat orang menteri dari Sabah dan Sarawak iaitu  Datuk Mohamaddin Ketapi (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Baru Bian (Menteri Kerja Raya) dan Datuk Liew Vui Keong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Parlimen) menganggotai Kabinet persekutuan.

— BERNAMA