Pilih Bahasa

Muhyiddin sah Perdana Menteri ke-8

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – Gambar SNT

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin, 72, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di Istana Negara hari ini.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Upacara itu turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pemilihan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dibuat susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Dalam kenyataan Istana Negara semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa keputusan tersebut adalah terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir.

Muhyiddin menandatangani Suratcara Pelantikan Perdana Menteri kelapan di Istana Negara. – Gambar SNT

Muhyiddin sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada 2009 hingga 2013.

Beliau yang berkahwin dengan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman memiliki B.A. (Hons) (Economics & Malay Study) Universiti Malaya (UM) dan menjadi Ahli Parlimen Pagoh, Johor sejak 1978.

Karier politik Muhyiddin dikejutkan apabila pda 2016 beliau dipecat sebagai Timbalan Presiden Umno namun bangkit semula pada Ogos 2016 apabila mengasaskan Bersatu dan dilantik sebagai Presiden.

Pada 2018, beliau  merupakan Presiden Pakatan Harapan Negeri Johor  selain menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Semalam, pada 29 Februari 2020, Muhyiddin mencatat sejarah dalam lipatan kerjaya politik beliau apabila dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan. – SabahNewsToday