Pilih Bahasa

MUIS Salur RM38 Ribu Sumbangan Bagi Mangsa Kebakaran Kg.Pasir Putih

Hasbullah (kiri) menyampaikan sumbangan dari Pusat Zakat Sabah kepada salah seorang ketua keluarga, Mazlan Musa (kanan) pada majlis penyampaian sumbangan tersebut. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

KOTA KINABALU: Pusat Zakat Sabah (MUIS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM38,000 kepada mangsa kebakaran Kampung Pasir Putih,Putatan yang berlaku 11 Januari lepas.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai RM500 itu disampaikan oleh Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Hasbullah Mohd Taha kepada setiap isi rumah bagi meringankan beban yang ditanggung.

Pengiran Saifuddin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan SEDCO kepada Marlina Marlan (kanan) sambil diperhatikan Uda (kiri), Aidi (dua dari kanan) dan Hasbullah (tengah). Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Dalam pada itu, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) turut menyampaikan bantuan berupa baucar pembelian RM200 dan barangan keperluan dapur dengan jumlah keseluruhan RM20,000.

Hassan (kiri) menerima sumbangan YADIM berjumlah RM3,000 yang disampaikan oleh Nik Omar (dua dari kanan) sambil diperhatikan Samin (kanan). Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Majlis penyerahan dan agihan bantuan kepada 77 orang ketua keluarga itu disampaikan oleh Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir di Dewan Masyarakat Putatan, pada Selasa.

Uda (dua dari kiri) menunjukan kesan kebakaran ketika membawa rombongan SEDCO dan YADIM melawat kawasan kampung yang terjejas akibat kebakaran besar pada 11 Januari yang lepas. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Selain itu, turut disampaikan adalah sumbangan kepada Pengerusi Bencana Daerah merangkap Pegawai Daerah Putatan, Hassan Mahali sebanyak RM12,150 dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Tombovo, Jabatan Arkib Negeri Sabah, Persatuan Usahawan Muda Sabah dan MyMedia.

Aidi (kiri) menyantuni salah seorang penghuni pusat pemindahan sementara mangsa-mangsa kebakaran di Dewan Masyarakat Putatan. Gambar SNT/Ehsan Penerangan

Selepas penyampaian berlangsung, para penderma melakukan lawatan ke kawasan kebakaran serta beramah mesra bersama mangsa yang berada di pusat penempatan sementara.

Hadir sama, Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri merangkap ADUN N18 Petagas, Datuk Uda Sulai, Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki serta Ketua Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N18 Petagas, Madilli Yussuf./PENERANGAN