Pilih Bahasa

Mulakan tabung pendidikan melalui SSPN: Japlin

KOTA BELUD: Golongan ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan bagi pendidikan anak-anak, agar memulakan langkah penabungan mulai hari ini melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Japlin Akim berkata usaha proaktif PTPTN dalam mengubah budaya dan amalan masyarakat Malaysia kepada budaya membuat penabungan untuk pendidikan, merupakan tindakan murni dan perlu disambut baik segenap lapisan masyarakat.

Kenangan..40 anak-anak asnaf bergambar dengan Japlin dan Wan Saiful.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Usukan

“Bersusah pada masa ini untuk menabung, bersenang kemudian apabila anak ke menara gading dan berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah SSPN 2019 peringkat Parlimen Kota Belud di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud di sini hari ini.

Japlin turut menyeru supaya agensi kerajaan, swasta dan sekolah di daerah Kota Belud untuk memberi laluan kepada PTPTN bagi mengadakan sebarang bentuk kempen penabungan di organisasi dan sekolah masing-masing.

“Ini kerana peluang harus diberikan kepada semua kakitangan untuk memiliki akaun SSPN yang mempunyai banyak manafaat.

“SSPN juga boleh menjadi pilihan utama bagi pelbagai organisasi sebagai insentif atau hadiah bagi program-program yang diadakan. Ini kerana banyak keistimewaan skim ini yang dapat dinikmati oleh ibu bapa sebagai pendeposit seperti dividen yang kompetitif, pelepasan cukai dan sebagainya.” Katanya.

Japlin yang juga Ketua Bersatu bahagian Kota Belud berkata kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan para guru khasnya untuk membuat perancangan awal kewangan pendidikan tinggi anak-anak adalah perlu dipandang serius oleh semua.

Japlin menyampai kad akaun SSPN-i kepada salah seorang 40 anak-anak asnaf daripada SK Pekan Kota Belud. -Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Usukan

“Kita tentunya mahu memastikan anak-anak kita dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tanpa mempunyai masalah kewangan kerana mereka telah mula menabung sejak kecil.

“Kita harus kita semua sedar bahawa amalan menabung dari awal juga adalah penting untuk keperluan masa depan pendidikan anak-anak, kerana jika kita sudah menabung, kita tidak memerlukan pinjaman pendidikan lagi.

Beliau meminta ibu bapa sedar akan kepentingan memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kerana pendidikan di tahap tinggi sememangnya mencabar dan tindakan kita sebagai ibu bapa adalah menyediakan tabungan awal dan mendidik anak-anak untuk menabung untuk tujuan pendidikan tinggi kelak.

Japlin turut memberitahu sehingga 31 Julai 2019, sebanyak 4.2 juta akaun SSPN telah dibuka dengan simpanan berjumlah RM5.0 bilion.

Penyerahan cek replika RM4,000 oleh Wan Saiful Wan Jan kepada Japlin. Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Usukan

Di negeri Sabah sebanyak 211,354 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM133.5 juta yang mana 10,033 akaun dengan deposit berjumlah RM3.1 juta adalah bagi Parlimen Kota Belud.

Semasa majlis, turut berlangsung pemberian sumbangan berbentuk akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM 100 setiap orang kepada 40 anak-anak asnaf terpilih di SK Pekan Kota Belud kawasan Parlimen Kota Belud di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PTPTN, Encik Wan Saiful Wan Jan, Pengurus Besar Kanan PTPTN Malaysia, Abdul Ghaffar Yusop, Pengurus Besar PTPTN Sabah, Muliati Kamaruddin, Timbalan Pengurus Besar PTPTN Sabah Hamdan Razali dan Guru Besar SK Pekan Kita Belud, Patong Santis, guru-guru dan pelajar sekolah. -SabahNewsToday