Pilih Bahasa

MURID PARAH DIREMPUH VAN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang murid lelaki parah selepas dirempuh van ketika cuba melintas jalan, di Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.

Akibat rempuhan itu, mangsa, Muhammad Firdaus, 12, mengalami pendarahan di dalam kepala, perut dan paru-paru.

Pemandu van jenis Grandmax melihat lima kanak-kanak sekolah yang berada di pembahagi jalan sedang melintas jalan termasuk mangsa. Bagaimanapun, mangsa berpatah semula sehingga pemandu van terbabit tidak dapat mengelak dan melanggar mangsa. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam kejadian pukul 3.20 petang, lelaki yang memandu van jenis Grandmax berusia 47 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas menuju ke Megah Jaya, Batu 3, Jalan Apas.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu van terbabit melihat lima kanak-kanak sekolah termasuk mangsa yang berada di pembahagi jalan sedang melintas jalan.

Van jenis Grandmax kemek dibahagian depan. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau.

“Bagaimanapun, mangsa berpatah semula ke pembahagi jalan sehingga pemandu van terbabit tidak dapat mengelak dan melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, pemandu van terbabit kemudian berhenti dan membawa mangsa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil laporan daripada pihak Hospital Tawau, mangsa mengalami pendarahan dalam kepala, perut dan paru-paru.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SabahNewsToday

ENDS